MELAKA - Murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Air Baruk, Jasin, di sini, yang dilanggar sebuah kereta sedang mengundur dan diseret sejauh 15 meter pagi Khamis lalu, dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.
Pengarah Pendidikan Melaka, Abu Bakar Sahari yang mengesahkan perkara berkenaan berkata, murid berusia lapan tahun itu dirujuk di HKL pada jam 8.50 pagi, semalam.
"Sekolah sebelum ini ada menempatkan seorang guru bertugas bagi mengikuti perkembangan mangsa di Hospital Melaka sebelum berpindah ke HKL.
"Buat masa ini, sekolah melaksanakan majlis doa selamat dan kutipan derma kilat untuk mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Abu Bakar berkata, lelaki berusia 62 tahun yang melanggar kanak-kanak itu tidak lagi bekerja dan memberikan perkhidmatan pembersihan di sekolah berkenaan.
"Kita sedang melihat semula aspek keselamatan di sekolah dan membuat penambahbaikan," katanya.
BH, sebelum ini melaporkan, kanak-kanak itu cedera di kepala dan anggota badan selepas dilanggar kereta dipandu lelaki berusia warga emas itu.
Kemalangan berlaku jam 6.50 pagi, 4 Januari lalu itu ketika murid berkenaan sedang berjalan dalam kawasan sekolah.
Sumber: Astro Awani