Murid Sekolah Agama Al-Islahiyah Belajar Tanpa Bekalan Elektrik


ARAU – Seramai 426 orang murid Tahun Satu hingga Tahun Enam Sekolah Agama Al-Islahiyah (Rendah) Bohor Mali, Simpang Empat, di sini terpaksa belajar dalam keadaan panas dan kurang selesa disebabkan bangunan sekolah tersebut tiada bekalan elektrik.

Menurut Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Ustaz Alias Abdul Rahman kebakaran papan suis utama pada 11 Okt tahun lepas menyebabkan seluruh bekalan elektrik sekolah terputus.

“Oleh kerana sekolah ini sekolah bantuan kerajaan, kami membuat permohonan bertulis kepada Jabatan Pendidikan Negeri Perlis untuk memohon bantuan membuat pendawaian semula dan laporan juga dihantar kepada Jabatan Kerja Raya Perlis pada awal November lepas,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata walaupun keseluruhan satu blok bangunan tiga tingkat sekolah itu tiada bekalan elektrik, ibu bapa murid mahu sesi persekolahan 2018 diteruskan apabila dibuka Isnin lepas.

“Buat masa ini operasi pejabat dilakukan di kantin dan dikongsi oleh guru-guru (sebagai bilik guru sementara),” katanya.

Alias berkata pihaknya akan menemui Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Perlis Datuk Khairi Hasan bagi mendapatkan bantuan. – Bernama