Musim `Sejuk' Malaysia Berakhir Hari Ini


KUALA LUMPUR - Suhu dingin yang melanda negara berakhir hari ini apabila kebanyakan kawasan mencatatkan suhu di antara 30 hingga 32 darjah Celsius, yang dicatatkan jam 1 tengah hari hingga 2 petang ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Alui Bahari, berkata berdasarkan catatan suhu yang direkodkan pada jam 1 hingga 2 petang, suhu rendah yang dialami akan berlalu mulai hari ini.

"Mengikut rekod, suhu di Petaling Jaya adalah 31 darjah Celsius, manakala di Chuping, Perlis; Alor Setar, Kedah; Butterworth, Pulau Pinang dan Ipoh, Perak dicatatkan suhu 30 darjah Celsius. Prai, Pulau Pinang dan Kuala Kangsar Perak masing-masing 32 darjah Celsius dan Sitiawan mencatatkan suhu 31 darjah Celsius.

"Pantai Timur Semenanjung masih mendung dan suhu yang dicatatkan sekitar 25 hingga 26 darjah Celsius yang dicatatkan pada jam 1 hingga 2 petang tadi," katanya kepada BH.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi mengesahkan beberapa kawasan terutama di selatan Semenanjung mengalami penurunan suhu dengan Kuala Pilah merekodkan paling rendah iaitu 21 darjah Celsius sejak tengah malam Khamis hingga awal pagi, Jumaat lalu.

Cuaca dingin yang melanda negara sejak Jumaat itu adalah disebabkan tiupan angin luluran sejuk yang berlaku ketika monsun timur laut akibat pengukuhan sistem tekanan udara tinggi Siberia-Mongolia yang membawa cuaca sejuk dari utara ke China dan memasuki Laut China Selatan sebelum bergerak ke negara ini.

Sumber: BH Online