KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi mengumumkan empat khabar gembira buat 123,000 pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Perdana Menteri berkata, mulai tahun ini, kerajaan memberi peruntukan RM3 juta setahun, selama tiga tahun untuk Tabung Amanah Warisan PDRM bagi menjaga kebajikan pesara polis dan keluarga mereka.
Kerajaan juga, katanya, akan memberi kuota khas menunaikan haji untuk pesara polis.
"Jumlah kuota ini akan diumumkan selepas mendapat isyarat (mengenai jumlah kuota) daripada Raja Salman (Penjaga dua Kota Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud," katanya.
Selain itu, Najib berkata, pesara polis juga akan menerima kuota khas rumah menerusi skim Rumah Mampu Milik Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia-PDRM.
"Seterusnya, Unit Hal-ehwal Veteran Polis disusun semula dan cawangannya dibuka di setiap negeri," katanya.
Beliau membuat pengumuman itu ketika berucap pada majlis Perjumpaan Pesara-Pesara Polis bersama Perdana Menteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Selain itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, yang juga Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP).
Dalam pada itu, Najib turut mengarahkan Mohamad Fuzi melihat semula kumpulan pesara polis yang belum menerima pengiktirafan atas jasa dan pengorbanan kepada negara.
"Bukanlah mereka berjuang kerana pingat, tetapi pengiktirafan. Tan Sri Fuzi, sila lihat semula kumpulan pesara di bawah radar ini, supaya mereka juga diberikan pingat," katanya.
Dalam pada itu, Najib turut mengingatkan pesara polis supaya tidak menjadi musuh dalam selimut yang mendedahkan rahsia negara kepada musuh.
Katanya, sesiapa juga membocorkan maklumat negara adalah musuh negara dan musuh dalam selimut amat bahaya kepada negara.
"Jangan ada musuh dalam selimut. Kalau ada sikap seumpama itu, kikis... kerana akan menyebabkan anggota di kiri dan kanan dalam bahaya. Perlu ada disiplin dan kesetiaan kepada agama, negara dan rakyat," katanya.
Najib juga berharap pesara polis terus menyokong kerajaan kerana mereka secara berterusan diperlukan oleh negara.
"Jangan ikut sebelah sana (pembangkang) yang hanya mengarut, melalut tak bersatu, tiada ideologi. Sebelah sana (pembangkang) tiada ideologi, sebelah sini (kerajaan) ada.
"Jangan membebel tak tentu arah. Balik buat kerja atau duduk dalam surau, doakan keselamatan dan kestabilan negara.
"Jangan pula jadi macam seorang tu. Umur dah 93 tahun, tidak mahu bersara. Dia dah melalutlah tu," katanya.
Sumber: Berita Harian