Nak Tuntut Hak Jaga Anak, Tapi Balasan Kereta Kemek, Calar


KES penceraian sering kali melibatkan hak penjagaan anak-anak yang menjadi mangsa perebutan antara ibu dan bapa.

Terbaharu, menjadi tular rakaman video memaparkan tindakan khianat sekumpulan lelaki yang cuba merosakkan sebuah kenderaan milik seorang wanita dalam kejadian di Semporna, Sabah.

Menurut mangsa, Ziezy Ahmad, dia bersama adiknya telah diserang beberapa lelaki dipercayai bekas ahli keluarga adik iparnya kira-kira jam 1 petang.

Difahamkan, dia dan adiknya datang ke rumah bekas suaminya itu untuk mengambil anak atas perintah mahkamah, namun tidak menyangka keluarga bekas adik iparnya akan bertindak sedemikian.

“Ceritanya saya ini tak tahu apa-apa. Cuma menemankan adik perempuan saya pergi mengambil anaknya atas perintah mahkamah.Siap bawa surat dari mahkamah lagi. Datang cara baik, siap bagi salam.

“Sampai-sampai saja di rumah bekas suami adik, memang nampak dari jauh sekumpulan lelaki sudah berkumpulan, termasuk seorang wanita yang dikenali sebagai Faridah.

“Yang si Faridah ini lagilah saya tak faham, apatah lagi kenal pun tidak. Secara tiba-tiba pergi ke depan kereta, siap berteriak dan meludah-ludah lagi.

“Astaghfirullahalazim, perangai mereka ini memang sungguh tidak dijangkakan,” katanya.

Kejadian yang tidak disangkakan itu menyebabkan mereka segera beredar namun kenderaan mangsa mengalami kemik dan calar teruk.

“Habis kereta saya menjadi mangsa tendang dan tumbuk. Allahu, barulah saya nampak perangai mereka macam mana. Serik saya nak pijak kawasan mereka ini lagi,” tulisnya.

Menurut Ziezy, kejadian itu berlaku pada dua minggu lalu namun rakaman insiden terbabit baru sahaja dimuat naik semalam.

Katanya lagi, dia telah melaporkan kejadian itu pada polis namun terpaksa menyebarkan kejadian itu di media sosial susulan tiada sebarang tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa. - Kedahnews.com