Netizen Anti-Islam Kutuk Giant Padam Imej Anjing


SETELAH berjaya kecam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana berdakwah terhadap usahawan kosmetik terkenal, Nur Sajat, kali ini netizen anti-Islam bertindak berani lebih biadab!

Menjelang perayaan Tahun Baharu Cina pada bulan depan, pengguna media sosial bukan Islam dikesan mengutuk langkah pihak Giant memadam imej anjing dan babi daripada baju T yang dijual rangkaian pasar raya besar itu.

Menurut portal tempatan Menara.my, baju berwarna merah itu hanya ada gambar tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet dan ayam, manakala simbol anjing dan babi digantikan dengan tulisan Cina.

Keadaan unik itu mencetuskan kemarahan ramai netizen bukan Melayu dipercayai propembangkang yang kecoh mempersoalkan usaha Giant memadamkan imej dua haiwan najis mughallazah itu sebagai tindakan ala-Taliban.

Terdapat 12 haiwan dalam zodiak Cina. Setiap binatang dalam kalendar purba Cina itu mengambil giliran masing-masing mengikut kitaran 12 tahun berdasarkan kepercayaan kedudukan mereka dalam pertandingan lumba lari.


Tahun ini pula kebetulan ialah giliran anjing selepas kali terakhir iaitu pada 2006 lalu. Tahun lepas merupakan giliran ayam dan tahun depan ialah babi iaitu haiwan terakhir melepasi garisan dalam perlumbaan tersebut.

Semakan di sebuah cawangan Giant di kawasan Lembah Klang mendapati baju T itu dijual dalam pelbagai saiz untuk seisi keluarga pada harga tawaran diskaun iaitu hanya RM10.88 berbanding harga asalnya RM15.99 sehelai.

Seorang jurujualnya memberitahu baju itu dijual sejak akhir bulan lalu dan ia direka khas sempena sambutan Tahun Baharu Cina. Mengenai kehilangan dua zodiak itu katanya, pengilang mungkin ada strategi pemasaran tersendiri.

Difahamkan ia sasar pelanggan berbilang kaum termasuk Melayu. Meskipun tidak diketahui kenapa dua haiwan itu tiada dalam rekaan baju tersebut, ramai netizen merujuk tindakan pihak Jakim sebelum ini dalam isu hampir sama.

Agensi berkenaan pernah melarang atau mengehadkan produk yang mengandungi unsur anjing dan babi sama ada tersurat atau tersirat, kerana dianggap sebagai haiwan tidak bersih oleh umat Islam mazhab Syafie di seluruh dunia.

Malah pada 1995 lalu, kerajaan Malaysia bertegas mengharamkan filem komedi Babe kerana menonjolkan seekor babi sebagai watak utama, walaupun penerbitan secara DVD diluluskan pihak penapisan beberapa tahun kemudian.

Pada 2016, karakter seorang wira legenda yang berkepala seperti babi juga dikeluarkan daripada poster promosi untuk filem epik Hong Kong, The Monkey King 2 di semua pawagam dan hebahan iklan menerusi media tempatan

Dua tahun sebelum itu, aktivis propembangkang Syed Azmi Alhabshi mendapat perhatian pihak berkuasa kerana biadab menganjurkan program untuk umat Islam bebas menyentuh anjing serta ajar cara menyamak selepas itu.

Garis panduan dikeluarkan Jakim yang mengawal industri halal turut melarang penggunaan nama dog sehingga memaksa produk popular seperti ‘Coney Dog’ keluaran restoran A&W terpaksa diubah semula kepada nama lain.

Sementara itu, kehilangan dua zodiak Cina tersebut turut mencetuskan perbualan dalam kalangan pengguna media sosial anti-Islam yang rata-rata percaya ia mungkin disebabkan oleh tekanan sentimen agama dan budaya setempat.

Namun ada berpendapat kaum lain tidak wajar dipaksa patuh dan netizen bernama Edward Ho persoal: “Kenapa orang Cina perlu mengabaikan budaya sendiri demi sesetengah fanatik di negara ini?” – Agensi