BUKANLAH sesuatu yang pelik untuk seorang individu yang telah menggunakan bahasa ibundanya sejak lahir dan mula berhempas-pulas apabila terpaksa menggunakan bahasa Inggeris.
Lain ceritanya di Malaysia apabila sesetengah individu yang dirakam tidak lancar berbahasa Inggeris pantas menjadi mangsa kritikan netizen yang rata-ratanya 'power' menggunakan bahasa antarabangsa tersebut.
Terbaru, kapten pasukan JDT, Safiq Rahim menjadi 'bahan' pelayar di laman Twitter selepas rakaman beliau memberi pendapat mengenai prestasi pemain AFC U-23, tersebar.
Dalam rakaman yang tular di laman Twitter tersebut, Safiq dengan jelas tergamam untuk beberapa ketika memberikan ucapan.
"Here's the script. Because aaa we also aaa...We also bring the Malaysia name also, aa Johor Darul Takzim aaa for the AFC Champions aa League qualifying," kata seorang pelayar.
"Satu-satunya masa dia bercakap dengan jelas adalah apabila dia mencarut," kata seorang pelayar lain yang kehabisan idea dan mengungkit isu lama pemain berkenaan.
Bagaimanapun, terdapat juga pelayar yang memuji Safiq kerana tetap tenang menghadapi dugaannya.
"Sekurang-kurangnya dia cuba...," kata seorang lelaki di Twitter.
Safiq bukanlah 'mangsa' pertama warga laman maya Malaysia. Pemenang anugerah berprestij dunia FIFA PUSKAS 2016, Faiz Subri juga pernah menjadi mangsa buli 'pakar bahasa' di laman sosial.
Sumber: Sinar Harian