ALOR SETAR - Pengendali skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Bojan Hodak mengakui 'permata' bola sepak negara, Akhyar Rashid memiliki potensi besar beraksi bersama kelab luar negara dengan beliau berharap pemain itu akan berhijrah jika mendapat tawaran.
Jelas jurulatih kelahiran Croatia itu, peluang beraksi di liga yang lebih baik dan bergandingan bersama pemain yang lebih berkualiti, sudah pasti dapat membantu menyerlahkan lagi potensinya sekali gus meningkatkan kemahiran dan kemampuannya sebagai pemain.
"Ia satu pengalaman yang hebat beraksi di luar dan mencuba sesuatu yang baharu. Dia (Akhyar) sememangnya pemain yang berbakat, namun semuanya bergantung kepada seberapa pantas dia boleh meningkatkan kualiti permainannya ketika beraksi di peringkat lebih tinggi.
"Secara dasarnya, dia memiliki potensi yang diperlukan untuk beraksi bersama pasukan di luar negara. Apapun, dia masih muda dan masih ada banyak ruang untuk dia meningkatkan kemampuannya.
"Jika ada tawaran yang serius khususnya dari pasukan yang berpangkalan di Jepun atau Eropah, dia wajar mempertimbangkan dan tidak melepaskan peluang keemasan itu," katanya memetik BH Online.
Sebelum ini, pemain berusia 18 tahun yang memperaga aksi meyakinkan pada Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun, minggu lalu berjaya menarik perhatian kelab rantau Asia apabila namanya dikaitkan dengan kelab ternama Thailand, Buriram United.
Sementara itu, menurut abangnya, Rafdi yang juga bekas pemain Kedah mengesahkan terdapat wakil atau ejen yang menunjukkan minat untuk berunding dengan Akhyar mengenai tawaran beraksi bersama kelab Thailand, Jepun dan Indonesia.
Akhyar menyertai skuad Piala Belia Kedah pada 2014 hingga 2015 dan kemudian bersama skuad Piala Presiden Kedah pada 2016 sebelum diserapkan ke skuad utama Kedah musim 2017.
Pemain yang terkenal dengan julukan 'Neymar Kedah' itu juga pernah dipanggil menyertai skuad kebangsaan B-17 pada 2015, B-19 (2017) dan B-23 di China. - Kedahnews.com