Nostalgia Istiadat Perkahwinan Sultan Abdul Halim dan Sultanah Bahiyah Tahun 1956


Jom kita imbas kembali nostalgia perkahwinan zaman dahulu kala. Pastinya perkahwinan yang diadakan dahulu penuh dengan adat dan istiadatnya. 

Kemeriahan yang terdapat pada zaman dahulu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata kerana mereka melakukannya dengan penuh beradat dan mendapat kerjasama daripada seluruh penduduk. 

Andakah anda masih ingat mengenai perkahwinan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dengan Sultanah Bahiyah? Jom sama-sama kita ketahuinya. 

Pada masa sekarang mungkin ramai dalam kalangan kita khususnya generasi muda sekarang tidak sempat untuk melihat ataupun menyaksikan persandingan Diraja. Untuk pengetahuan pembaca rakyat zaman dahulu sangat dekat dengan Raja dan Kesultanan Melayu yang merupakan satu lambang kedaulatan sesebuah negeri di Tanah Melayu. 

Ramai rakyat yang melibatkan diri dan melalui detik-detik kemeriahan istiadat perkahwinan Raja-Raja Melayu yang begitu disayangi oleh rakyat. Namun, terdapat juga segelintir masyarakat sekarang yang sudah tidak menghormati dan berkelakuan derhaka terhadap Raja-Raja Melayu. 


Mereka inilah generasi yang akan merosakkan dan meruntuhkan institusi Kesultanan yang masih ada sehingga ke hari ini. Allahyarham Tuanku Abdul Halim disatukan dengan Almarhumah Tuanku Sultanah Bahiyah pada 9 Mac 1956 di Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan. 

Menurut tokoh sejarah Kedah iaitu Datuk Wan Shamsuddin Mohd Yusof, Tuanku telah berkenalan dengan Almarhumah ketika sedang belajar di England. Proses perkahwinan baginda berdua adalah mengikut adat istiadat silam yang dimulai dengan majlis merisik, meminang, hantar belanja dan mas kahwin, akad nikah serta kenduri kahwin. 


Majlis perkahwinan ini dilaksanakan satu persatu mengikut adat istiadat tanpa ada satu pun yang tertinggal. Kemuncak istiadat ialah pada hari ketiga apabila berlangsungnya upacara mandi-manda iaitu aktiviti simbah-menyimbah air. 

Acara ini diadakan di pentas khas yang dipanggil Panca Persada. Ketika istiadat tersebut baginda berdua saling menyiram air antara satu sama lain dan juga turut dimeriahkan dengan kehadiran pembesar negeri dan rakyat jelata. 

Hasil daripada perkahwinan tersebut baginda telah dikurniakan tiga orang puteri iaitu Tunku Soraya, Tunku Sarina dan Tunku Puteri Intan Shafinaz. Pada 26 Ogos 2003, Tuanku Sultanah Bahiyah telah mangkat di Istana Kuala Chegar, Anak Bukit.