Orang Ramai Boleh Saksi Lebih 100 Ikan Lumba Di Kuala Perlis


KANGAR – Lebih 100 ekor ikan lumba-lumba dikesan di kawasan Boya Tukun, iaitu kira-kira dua kilometer dari Jeti Kuala Perlis hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Pertanian ne­geri, Zulkefli Amin Mat Jusoh yang melihat kelibat spesies tersebut ketika memancing bersama rakan-rakannya kira-kira pukul 5 petang.

Katanya, ikan itu ditemukan dalam kumpulan besar yang menghampiri bot mereka yang pada masa itu keadaan lautnya tenang.

“Ikan tersebut sedang bergerak menghampiri pantai. Biasanya kalau kita memancing kita akan mengelak daripada ikan lumba-lumba kerana dikhuatiri ikan lain tidak ada,” katanya, lapor Utusan

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Alam Sekitar dan Hidupan Liar Perlis (PNW), Syamil Abdul Rahman turut mengakui perkara sama selepas menerima laporan daripada dua orang nelayan yang melihat lebih 30 ikan lumba-lumba ketika menangkap ikan di Pulau Batu Layang, kira-kira dua minggu lalu.

Katanya, kelibat ikan berkenaan dilihat oleh nelayan itu kira-kira pukul 12.30 tengah hari menuju ke bot mereka sebelum beredar ke arah Sungai Baru.

“Hampir 15 minit ikan tersebut bermain-main di sekitar bot itu. Ikan yang ditemukan itu dikatakan daripada spesies Indo-Pacific.

“Selain itu, ikan lumba-lumba ini juga ditemukan di pesisir Kuala Sungai Baru dan Pantai Kurung Tengar oleh penduduk kampung dan pemancing,” katanya ketika temui di sini hari ini.

Tambah Syamil, ikan lumba-lumba itu mula dikesan pada April sehingga Disember lalu iaitu ketika cuaca panas melanda negeri ini.

“Punca utama tarikan ikan lumba-lumba berhijrah sementara di Kuala Perlis ialah sumber makanan yang banyak seperti anak-anak ikan belanak, ikan kedera dan udang sepanjang laut Kuala Perlis selain faktor perubahan suhu air laut,” katanya.

Tambahnya lagi, penduduk Perlis sendiri kebanyakannya tidak mengetahui kewujudan hidupan mamalia itu sekitar kawasan perairan di Kuala Perlis sejak sekian lama.

“Saya sendiri pernah melihat berpuluh-puluh ikan lumba-lumba ini ketika membuat tinjauan di Pulau Batu Layang tahun lalu,” katanya.

Sumber: Suara TV