ALOR SETAR - Penanaman padi varieti Black Madras yang mempunyai karakter berdaun ungu tidak diiktiraf oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) untuk ditanam di Malaysia.
Ketua cawangan Komunikasi Korporat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Mohd Hafizi Zakaria berkata, setakat ini tanaman padi varieti terbabit dikesan ditanam seorang peladang di kawasan Tambun Tulang, Perlis dengan keluasan 0.072 hektar.
“Pihak Mada telah mengesan penanaman padi varieti Black Madras itu di Perlis. Pemantauan berterusan dibuat sejak ia mula dikesan pada awal Januari lalu, bagi pastikan tiada bawaan perosak dan penyakit daripada varieti itu menjejaskan varieti lain yang ditanam oleh peladang berdekatan,” katanya.
Menurutnya, pihaknya menasihatkan peladang agar sentiasa menggunakan benih padi sah yang diiktiraf dalam negara.
“Penggunaan benih tidak sah berkemungkinan boleh menyebabkan kehilangan hasil yang teruk,” katanya.
Baru-baru ini tular gambar di Facebook memaparkan kawasan sawah berwarna ungu, yang ditanam padi varieti Black Madras di Perlis. Benih padi itu dipercayai dibawa masuk secara tidak sah dari Korea Selatan.
Sumber: Sinar Online