Padi Haram, Boleh Ancam Pertanian


KUANTAN - Petani di negeri ini diingatkan supaya tidak menggunakan benih padi haram yang boleh didapati dari luar negara bagi mengelak bawaan perosak dan penyakit baharu kepada tanaman tersebut.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan  mengenai benih padi haram di negeri ini namun pemantauan sentiasa dibuat dari masa ke semasa.

Menurutnya, sekiranya petani mempunyai maklumat mengenai kegiatan penanaman benih padi  haram ini, mereka dikehendaki membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan susulan.

"Kemasukan benih padi asing secara haram tanpa melalui pemeriksaan dan kuarantin akan berisiko penyakit yang kita tidak pasti.

“Penggunaan benih tidak sah berkemungkinan boleh menyebabkan kehilangan hasil yang teruk,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Bantuan Musim Tengkujuh Persatuan Nelayan Kawasan Kuantan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), kelmarin.

Hadir sama, Pengarah LKIM Pahang, Rashima Baharuddin dan Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Kuantan, Zamri Mohamad.

Dalam laporan akhbar sebelum ini menyiarkan, Jabatan Pertanian Perlis membongkar kegiatan penanaman padi Black Madras, sejenis padi asing berwarna hitam dikatakan berasal dari Korea, yang ditanam secara haram di Tambun Tulang, Perlis.

Tanaman yang benihnya dipercayai dibawa masuk secara haram melalui kapal terbang itu, dikesan agensi tersebut setelah pemiliknya mula mengiklankan penjualan benihnya di Facebook beberapa hari lalu.

Sumber:Sinar Online