Pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) kini mungkin baharu sedar bahawa mereka tersilap catur kerana meninggalkan PAS dua tahun lalu dan terjun dalam perangkap DAP.
Mereka sedar siapa kawan mereka dalam Pakatan Harapan sekarang.
Bila hampir dengan Pilihan Raya Umum Ke 14, PAN disisihkan oleh rakan sekutu apabila DAP mendapat rakan baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
DAP 'memerlukan' Dr. Mahathir untuk memecahkan undi orang Melayu yang menyokong UMNO dan PAS.
Sebelum ini kedatangan PPBM, DAP amat memerlukan PAN untuk menghancurkan PAS.
Kini PAN perlu menerima hakikat bahawa DAP dan PPBM tidak mengharapkan sangat parti itu boleh memecahkan PAS kerana kekuatan PAN amat terbatas. Malah PAS dilihat berjaya memulihkan kekuatan parti itu selepas sebahagian pemimpinnya keluar parti selepas muktamar pada Mei 2015.
DAP lebih mempercayai PPBM apatah lagi melihat kensungguhan Dr. Mahathtir untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib. DAP tidak perdulikan lagi sama ada dakwaan buruk Dr. Mahathir terhadap Najib benar atau tidak.
PAS Kedah melihat PAN tidak mempunyai pengaruh yang cukup kuat untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Dakwaan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri itu, Muhammad Sanusi Md Nor ada benarnya kerana apabila PAN diberikan kuota kerusi paling sedikit melalui pengagihan dibuat pakatan pembangkang.
Menurut Sanusi pembahagian kerusi yang dilihat tidakadil itu sekali gus mencerminkan DAP, PKR dan PPBM sendiri tidak yakin dengan kekuatan parti itu.
"PAN tiada kekuatan, tiada pengaruh dan tiada pengikut. Atas sebab itu mereka tidak dihormati oleh kawan, apatah lagi lawan. Pengaruh dan kekuatan mereka tertinggal dalam PAS.
"Melalui pengagihan kerusi (pakatan pembangkang) DAP dan PKR jelas mendominasi. PAN sendiri ditubuhkan oleh kerja keras DAP dan PKR yang pecahkan PAS, lalu menghasilkan PAN, jadi tidak peliklah apabila mereka dapat kerusi paling sedikit.
"Boleh nampak siapa tauke dan siapa pekerja..siapa kuli percuma. PAN bukan berkorban, depa khianat," katanya seperti yang dilaporkan oleh media tempatan hari ini.
Pada Konvensyen Pakatan Harapan Ahad lepas, PPBM diumumkan bertanding 52 kerusi, diikuti PKR (51), DAP (35) dan PAN (27) di semenanjung. PPBM dan PAN adalah dua pendatang baharu bagi PRU14.
Terdapat 165 kerusi Parlimen di Semenajung dan 57 lagi di Sabah dan Sarawak yang akan menjadi rebutan antara BN dan parti pembangkang. - Kedahnews.com