PAS Bangga Amal Central, BN Selamatkan KUIN Daripada Tutup


PAS Kedah nampak cukup bangga dengan Plaza Tunku Yakkob kerana semasa  pemerintah parti itu dapat menyiapkannya  selepas projek itu terbengkalai selama 30 tahun di bawah lima Menteri Besar kerajaan Barisan Nasional (BN).

Selepas sepenggal PAS mentadbir Kedah pada 2008 bangunan itu berjaya disiapkan, hasil kecekapan pentadbiran Dato' Seri  Azizan Abdul Razak, kata Pengarah Pilihan Raya Muslimat PAS Kedah, Jamaliah Omar yang dipetik dari Harakahdaily.

Katanya,  rakyat Kedah harus buka mata terhadap pembangunan yang dilaksanakan di Kedah semasa di bawah pentadbiran PAS. Plaza Tunku Yakkob sekarang dikenali Aman Central, sebuah pusat membeli belah baharu yang menjadi tumpuan di Bandar Raya Alor Setar.

Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Alor Setar, Syed Hafiz Mustafa ketika dihubungi mengucapkan tahniah kepada PAS yang berjaya menyiapkan satu-satunya kompleks membeli belah itu semasa lima tahun pentadbiran pakatan pembangkang.

Di sebalik kebanggaan PAS dengan Aman Central itu, kata beliau kerajaan BN pula berjaya menyelamatkan Kolej Universiti  Insaniah (KUIN) daripada ditutup atau bangkrap akibat terbeban dengan hutang besar yang dibuat semasa pentadbiran kerajaan negeri PAS.
.
KUIN, anak syarikat milik kerajaan negeri yang akan dinaikkan taraf sebagai universiti penuh itu mungkin akan lenyap jika tidak diselamatkan oleh kerajaan selepas BN menawan semula Kedah pada PRU13.

Kini KUIN dilaporkan kembali untung dan tempoh pembayaran hutangnya kepada kerajaan Persekutuan  diperpanjangkan.

Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 3 mendedahkan prestasi kewangan Kolej Universiti Insaniah Sdn Bhd bagi tahun 2012 hingga 2014 tidak memuaskan berdasarkan analisis trend dan nisbah kewangan yang dijalankan.

Menurut laporan itu, bagi 2012 dan 2013 syarikat mencatatkan kerugian selepas cukai masing-masing berjumlah RM1.3 juta dan RM8.85 juta, bagaimanapun pada 2014 (semasa BN memerintah Kedah), syarikat mencatatkan keuntungan selepas cukai berjumlah RM1.06 juta.


Di sebalik kebangaan PAS terhadap Aman Central, Syed Hafiz juga mengajak Jamaliah merenung kembali segala projek pembangunan untuk rakyat di negeri sejak BN memerintah hingga sekarang, termasuk yang berkaitan hal keagamaan.

Menurut Syed Hafiz, telah Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menerajui  pentadbiran negeri  beberapa projek dilaksanakan seperti  kolej sains tahfiz, bantuan kepada sekolah pondok dan madrasah selain menambah elaun pegawai masjid serta guru-guru Kafa.

Kedah terus memperkasakan peranan institusi masjid dan berusaha mencapai sasaran menjadi hab pendidikan sekolah pondok dan maahad tahfiz melalui pelbagai bantuan dan peruntukan besar dalam Bajet 2018.

Ahmad Bashah sebelum ini memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri sejumlah RM4 juta disalurkan bagi menaik taraf  Maktab Mahmud dan Maahad Tahfiz Sains Kedah.

Selain itu, kerajaan negeri meneruskan pemberian dana pengurusan bernilai RM2,000 sebulan kepada 11 buah pondok yang bernaung di bawah Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia.

Bagi 20 buah pondok dan 64 maahad tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri Kedah, dana khas bersifat one-off diperuntukkan. Setiap pondok dan maahad tahfiz menerima RM10,000 melibatkan biaya keseluruhan berjumlah RM840,000," katanya.

Pada Bajet 2018 juga meneruskan pemberian  geran berdasarkan bilangan pelajar di Sekolah Agama Rakyat dengan jumlah RM1.7 juta selain sejumlah dana tambahan disediakan bagi pembelian kitab kepada seluruh pondok dan Maahad Tahfiz yang beroperasi di negeri ini.​​

Bantuan kerajaaan BN juga melangkau fahaman politik seperti khariat kematian kepada waris si mati.

Namun, kata Syed Hafiz, PAS juga perlu melihat kembali kegagalannya merancang projek-projek semasa ditadbir kerajaan Pakatan Rakyat. Antaranya projek yang dianggap  seperti 'mat jenin' termasuk  ternakan ikan keli serta projek perumahan di Pokok Sena.

Pimpinan PAS yang memerintah negeri Kedah sebelum ini dibidas kerana 'melicinkan hutan balak' untuk melaksanakan projek ternakan ikan keli yang hasilnya kini entah ke mana. - Kedahnews.com.