PAS Bimbang Mahathir Ikut Telunjuk DAP Jika Pakatan Perintah


PAS bimbang Dr. Mahathir Mohamad akan menuruti kehendak DAP jika Pakatan Harapan mengambil alih teraju pemeritahan negara ini selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.
  
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin percaya DAP tetap akan menguasai Pakatan Harapan meskipun parti itu hanya diberikan 35 kerusi Parlimen di Semenanjung oleh gabungan pembangkang tersebut.

Kebimbangan PAS itu ada kewajarannya selepas merujuk situasi politik yang berlaku di Perak selepas PRU-12.

Kata beliau, walaupun ketika itu wakil PAS dipilih sebagai Menteri Besar Perak, tetapi segala keputusan ditentukan oleh DAP yang dominan pada masa itu.

Dalam hal ini  PAS  melihat perkembangan politik Islam dan orang Melayu di negara ini berada dalam situasi cukup bahaya jika Pakatan Harapan diberi peluang untuk memerintah.

Pakatan Harapan Ahad lalu bersetuju mencalonkan Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PPBM sebagai Perdana Menteri 'sementara' dan Prsiden PKR selaku timbalan Perdana Menteri.

Walaupun diprotes oleh sebilangan pemimpin PKR, namun DAP tetap mempertahankan pencalonan Dr. Mahathir itu.
  
Veteran PAS yang juga Ketua  Majlis Syura Ulamak PAS berkata lagi DAP akan tetap ‘taiko’, bahaya jika Pakatan Harapan menang PRU-14.

"Jika pun PPBM dapat banyak kerusi (52 kerusi), PKR (51 kerusi) tetapi mereka akan bertanding di kawasan kubu kuat Barisan Nasional (BN) atau PAS. Kalau mereka tidak tewas dengan PAS mungkin kalah dengan BN, " katanya.

DAP yang bertanding di kawasan selesa yang secara realitinya sudah menang. Akhirnya yang mengepalai Pakatan Harapan nanti adalah mereka (DAP) yang menang kerusi paling banyak, kata Hashim di Kangar hari ini.

Sementara DAP juga dijangka bertanding di beberapa kerusi Parlimen di Sarawak dan Sabah.

“Saya bimbang kalau ditakdirkan Pakatan Harapan tubuh kerajaan, walaupun DAP tidak menjadi Perdana Menteri tetapi Perdana Menteri yang dipilih itu akan ikut cakap dia (DAP), "katanya sambil menyifatkan keadaan seperti itu  cukup bahaya bagi politik Islam dan orang Melayu di negara ini. - Kedahnews.com