PAS Perak Kata PAN "Nyamuk", Tiada Sokongan Akar Umbi


PAS menganggap Parti Amanah Negara (PAN) seolah-olah tidak wujud dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) kerana parti itu tidak mempunyai sokongan kuat di peringkat akar umbi.

Jika PAN tiada sokongan di bawah, demikian  juga keadaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpin oleh calon Perdana Menteri Pakatan, Tun Dr. Mahathir Mohamad.


PAN dan PPBM hanya gah di media sosial sahaja sedang cawangannya tidak kelihatan. Kedua parti itu sebenarnya  banyak  bergantung kepada 'jentera' PKR dan DAP.

Pesuruhjaya PAS Perak  Razman Zakaria semalam mendakwa dalam PAN hanyalah terdapat  dua tiga pemimpin yang kecewa dalam pemilihan parti sewaktu mereka berada bersama dalam PAS sebelum ini.

Baru-baru ini Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan PAN sebagai parti `nyamuk'  yang tidak menjejaskan kedudukan PAS sebagai parti yang besar dan berpengaruh.

Sementara itu masalah dalaman PPBM disifatkan mula 'menjadi duri dalam daging' kepada gabungan pembangkang dan ada yang mencadangkan parti itu disingkirkan daripada gabungan pembangkang.

Ia berikutan kegagalan parti itu mematuhi perlembagaannya sendiri, menyebabkan permohonan pembangkang mendaftarkan Pakatan Harapan belum diluluskan.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir sebelum ini berkata masalah PPBM yang berpunca akibat kegagalan mematuhi perlembagaan parti, kini mengheret gabungan pembangkang ke dalam krisis dan bakal menjejaskan prestasi mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

PPBM mengakui parti itu belum mempunyai cawangan yang berdaftar sementara bahagian belum membuat mesyuarat agung.

Parti pimpinan Tun Dr. Mahathir itu akan menjadi 'duri dalam daging' pada Pakatan Harapan terutama dalam pemilihan calon Perdana Menteri dan pengagihan kerusi yang dikatakan tidak adil kepada rakan sekutunya terutama PAN. - Kedahnews.com.