PAS Sifatkan Cerita Rekaan Kadir Jasin Mengarut


ALOR SETAR - Tuduhan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersat Malaysia, Dato' A Kadir Jasin yang mendakwa kononnya terdapat perjanjian sulit di antara PAS dan UMNO disifatkan sebagai karut dan sengaja direka.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Kadir tidak mempunyai sebarang kreadibiliti untuk membuat propaganda politik melalui tuduhan rambang itu.

"Siapa dia (Kadir) untuk cakap sampai macam itu? Sedangkan ia mengarut," tegas Timbalan Menteri Besar Kelantan itu.

Mengulas lanjut, Mohd Amar turut menegaskan bahawa PAS sudah bosan dan lali dengan cerita-cerita rekaan yang dicipta semata-mata untuk menjejaskan kepercayaan ahli serta penyokongnya terhadap parti.

Malah katanya, jika mahu diperkatakan tentang "khabar angin", PAS juga pernah mendengar cerita tentang PPBM dan UMNO.

"Kalau nak cakap fasal khabar angin ni, kami pun dengar khabar angin tentang PPBM dengan UMNO, dan tidak mustahil perkara itu berlaku lebih daripada khabar angin. Tidak pelik," katanya menyindir tokoh penulis propaganda PPBM itu.

A Kadir sebelum ini mendakwa terdapat perjanjian bersama di antara PAS dan UMNO di Kelantan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti. - Kedahnews.com