ALOR SETAR - Pasukan Kedah agresif dalam persiapan menjelang Liga Malaysia 2018 sejak kembalinya Marco Marcote ke Kedah, kelihatan beberapa muka baharu mula diisi bagi kuota pemain import.
Pemain kelahiran Sepanyol, Pablo Pallares yang didakwa bakal mengisi posisi penyerang utama skuad Helang Merah untuk saingan Liga Malaysia musim 2018 kini sudah berada di Alor Setar.
Pallares, 30, yang tiba pada jam 9 malam Ahad di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) telah disambut pegawai dan media rasmi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) serta penyokong.
Dia yang berasal dari Gandia, Sepanyol beraksi sebagai penyerang dan memulakan karier bersama akademi Valencia CF dan kelab terakhir diwakilinya ialah Ponferradina dalam Segunda Division B, Sepanyol.
Pallares adalah pilihan utama ketua jurulatih, Ramon Marcote bagi mengisi posisi penyerang ditinggalkan Ken Ilso musim lalu dan akan mengisi kuota antarabangsa penyerang import Kedah musim 2018.
Menurut kenyataan dari laman rasmi Facebook KFA, Marcote sudah memantau prestasi pemain itu sejak dua hingga tiga musim lalu dan dia dianggap sesuai dengan tahap kualiti bola sepak di Malaysia dan bakal menjadi senjata utama skuad hijau kuning.
Sementara itu, KFA akan memaklumkan pengesahan status pemain itu bersama skuad Helang Merah selepas pemeriksaan perubatan serta memuktamadkan perbincangan kontrak sebelum skuad itu berlepas ke Surabaya.
Pallares ketika ditemui sejurus tiba di LTSAH, berkata dia teruja dan tak sabar melihat reaksi penyokong Kedah.
"Saya teruja dengan semangat dan reaksi ditunjukkan penyokong Kedah yang saya lihat memberi sambutan hangat dalam media sosial dan hadir pada malam ini (Ahad).
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Marcote kerana memberi kepercayaan kepada saya beraksi di sebuah kelab yang mempunyai rekod hebat di Malaysia," katanya yang memetik BH Online. - Kedahnews.com