ALOR SETAR - Skuad Liga Super Kedah yang berangkat ke Surabaya pagi ini bagi menyertai Kejohanan Piala Super Suramadu (Suramadu Super Cup) yang berlangsung di Stadium Gelora Bangkalan, Jawa Timur, Indonesia bermula esok hingga 12 Januari ini.
Misi Kedah kali ini pastinya ujian awal dan juga sebagai aksi perlawanan pramusim serta pemanas badan skuad kendalian ketua jurulatih Kedah yang baharu iaitu Ramon Marcote sebelum bermulanya Liga Malaysia 2018.
Bagi pemain senior Kedah, Khairul Helmi Johari, aksi julung kali dalam Kejohanan Piala Super 2018 di Indonesia adalah medan terbaik untuk semua pemain mempersiapkan diri dalam usaha meningkatkan prestasi menjelang Liga Malaysia yang akan bermula Februari ini.
"Sebagai wakil Malaysia, kami mengharapkan keputusan yang baik dan kejohanan ini juga menjadi kayu pengukur dalam beberapa aspek persediaan yang akan dilakukan dalam pasukan.
"Paling penting adalah untuk mencari keserasian antara pemain baru dan lama serta memperkemaskan corak permainan pasukan dengan taktikal yang diserapkan oleh jurulatih Marcote.
"Selain itu pendedahan pemain muda di peringkat perlawanan rantau ASEAN juga dilihat penting bagi mengimbangi pengalaman semua pemain dalam pasukan," katanya memetik BH Online.
Skuad Helang Merah akan beraksi di Stadium Gelora Bangkalan yang boleh menempatkan seramai 15,000 penonton terletak di daerah Bangkalan, Madura Jawa Timur Indonesia yang menjadi gelanggang pertarungan bersama pasukan Persela, Persija Jakarta dan Madura United.
Kejohanan itu juga dikatakan bakal mendapat liputan siaran secara langsung seluruh Indonesia melalui salah satu stesen tv nasional.
Jadual perlawanan waktu Malaysia untuk skuad Lang Merah di Indonesia bermula esok menentang Persela pada pukul 4 petang, Persija Jakarta pada 10 Januari (8 malam) dan bertemu Madura United pada 12 Januari (8 malam). - Kedahnews.com