SEOUL - Isu membabitkan rakyat Malaysia yang mencari rezeki di Korea Selatan hangat diperkatakan sejak awal tahun ini dan ada antara mereka yang tertipu dengan janji manis ejen demi mengejar bayaran gaji yang lumayan.
Menurut laporan berita Korea Herald, terdapat seramai 251,000 pekerja asing tanpa izin (Pati) yang bekerja di Korea Selatan.
Kementerian Keadilan Republik Korea berkata, angka melibatkan pekerja dari Malaysia meningkat pada tahun lalu.
Korea Selatan membenarkan warga asing dari 16 negara di Asia Tenggara dan Asia Barat untuk bekerja di negaranya di bawah Sistem Permit Pekerjaan (EPS) dan Malaysia tidak termasuk dalam senarai itu.
Terdapat hampir 279,000 warga asing didaftarkan dalam skim EPS yang menggajikan pekerja dalam sektor kemahiran rendah seperti pembuatan, perikanan dan agrikultur.
Pekerjaan tersebut tidak mendapat sambutan dalam kalangan rakyat negara ini kerana bayaran yang rendah dah persekitaran kerja yang tidak selamat.
Pemegang skim EPS dibenarkan bekerja di Korea Selatan selama tiga tahun dan boleh melanjutkan permit tersebut untuk tahun berikutnya dan 10 bulan selepas diluluskan oleh pihak majikan.
Pihak majikan telah meminta pihak kerajaan untuk meninggikan kuota bagi skim EPS bagi memenuhi kekurangan jumlah tenaga buruh dalam beberapa sektor.
Bagaimanapun pihak kerajaan memilih untuk berjaga-jaga selepas mendapat tentangan orang awam tentang kebanjiran warga asing yang didakwa mengambil pekerjaan daripada rakyat Korea Selatan.
Para aktivis berkata, agensi pekerjaan swasta turut mengambil kesempatan terhadap warga asing yang ingin bekerja di Korea Selatan dan pihak berkuasa negara ini gagal menyediakan perlindungan kepada pekerja yang tidak memiliki dokumen yang sah.
Ia sekaligus menyebabkan Pati ini berisiko tinggi untuk mengalami kemalangan di tempat kerja dan pelbagai serangan lain.
Buruh haram biasanya diambil bekerja secara harian dan dihantar ke beberapa lokasi berbeza pada setiap hari.
Mereka terpaksa bekerja dengan segera tanpa diberi latihan terlebih dahulu dan boleh menyebabkan pekerja terbabit berisiko untuk mengalami kemalangan.
Menurut Kementerian Keadilan Korea Selatan, kebanyakan warga asing yang tidak memiliki dokumen adalah terdiri daripada mereka yang sudah menetap lebih tempoh permit bekerja dan visa pelajar.
Manakala, mereka yang lain datang ke negara itu untuk bekerja selama tiga bulan menggunakan visa pelancong.
Pada 2017, kementerian tersebut telah menghantar pulang seramai 31,237 Pati dan mendakwa seramai 6,460 ejen pekerjaan.
Tahun ini, kementerian itu meningkatkan jumlah pegawai imigresen yang bertanggungjawab untuk mengenalpasti Pati kepada 1,400 orang; melanjutkan tempoh tindakan keras terhadap penyeludupan warga asing kepada 22 minggu; dan menetapkan sebanyak 34 lokasi penempatan, termasuk tapak pembinaan dan kilang-kilang untuk pegawai terbabit.
"Terdapat bekalan kerana ada permintaan. Pekerja yang tidak berdaftar ini ramai kerana terdapat pekerjaan di sini untuk mereka.
"Kerajaan perlu mengkaji semula keadaan untuk membuat dasar imigresen yang sejajar dengan pasaran," kata ketua bahagian Pejabat Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi Seoul, Park Mi Hyung.
Tambah beliau, tanpa laluan rasmi untuk masuk ke Korea Selatan, kebanyakan pekerja asing yang berkemahiran rendah terpaksa membayar komisyen bagi mendapatkan pekerjaan dan proses tersebut tidak dilakukan secara jelas.
"Pekerja asing adalah mereka yang sering menjadi mangsa," kata wanita itu.
Di bawah Akta Piawaian Buruh dan Akta Insurans Pampasan Kemalangan Industri, pekerja asing layak menerima pampasan bagi kecederaan yang dialami di tempat kerja daripada pihak kerajaan tanpa mengira status imigresen mereka.
Mereka boleh memfailkan permohonan tanpa keizinan daripada pihak majikan.
Sumber: Mstar Online