Pejabat Daerah Kulim Buat Laporan Polis Difitnah Terima Kereta


ALOR SETAR - Satu laporan polis telah dibuat oleh Pejabat Daerah Kulim ke atas seorang individu kerana dakwaan memfitnah di laman sosial Facebook.

Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pengurusan Daerah) Kulim, Amrul Hidayat Shahbudin berkata, laporan itu dilakukan berhubung komen berbaur fitnah yang ditulis secara nyata dan terang-terangan menuduh pejabat daerah yang kononnya menerima sebuah kereta sebagai imbuhan.

"Dalam komennya di Kulim Info Group, individu yang dipercayai wanita itu memberikan komen dengan mengatakan pejabat daerah dan Majlis Perbandaran Kulim menerima sebuah kereta daripada pengurusan MBI Desaku sebagai imbuhan membenarkan projek mereka dijalankan.

"Pihak kami menafikan dakwaan itu dan menganggapnya sebagai satu fitnah dan mahu pihak polis melakukan siasatan memandangkan ia telah menjejaskan reputasi dan imej pejabat daerah," katanya.

Beliau berkata kepada media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim di sini, semalam.

Menurutnya, komen berunsurkan fitnah itu di kesan dalam Kulim Info Group sejak kelmarin dan sehingga kini, komen tersebut masih belum dipadamkan.

Ujar Amrul, komen yang berbaur fitnah itu adalah rentetan daripada sesi dialog antara pihak pejabat daerah, pemaju, Anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan penduduk mengenai projek Taman MBI Desaku di Padang Meiha pada Selasa lalu.

Jelasnya, laporan itu dilakukan ekoran bagi memperingati netizen serta pihak tertentu agar tidak sewenang-wenangnya membuat komen tanpa sebarang bukti kukuh atau maklumat yang tepat. - Kedahnews.com