Pekerja Hotel Di Langkawi Jumpa RM20,295 Duit Pakistan Dalam Bilik


ALOR SETAR - Seorang pekerja hotel bahagian pembersihan di sebuah hotel di Langkawi menemui sejumlah wang tunai  AS$5,000 (kira-kira RM20,295) ketika sedang bertugas.

Siti Nuraminira, 33, yang bekerja di Adya Hotel Langkawi ternyata tidak gelap mata apabila menemui wang tersebut dan segera bertindak untuk menyerahkan wang tunai yang dijumpainya kepada pengurusan hotel itu, kejadian berlaku Jumaat lalu.

Menceritakan semula peristiwa itu, dia yang sedang hamil tujuh bulan berkata ia berlaku sekitar 2.00 petang ketika sedang mengemas sebuah bilik penginapan yang sebelum itu dihuni oleh seorang pelancong dari Pakistan yang datang bersama keluarganya.

"Semasa saya mengangkat kain cadar yang digunakan di atas katil bayi dalam bilik itu, saya terjumpa satu sampul dan apabila diperiksa, di dalamnya mengandungi berkeping-keping wang tunai," katanya.

Tanpa berfikir lama, dia menyerahkan wang tunai itu kepada penyelianya bagi membolehkan pihak pengurusan memberitahu pelancong berkenaan yang sudahpun berada di Pakistan, tentang penemuan itu.

Wanita tersebut memilih untuk segera menyerahkan hak orang lain itu kepada insan yang sepatutnya kerana enggan terjebak dan terjerumus dengan wang yang tidak berkat sekiranya dia menyembunyikan perkara itu.

Jelasnya, ini bukanlah kali pertama baginya menjumpai wang tunai atau barang berharga yang tertinggal dalam bilik penginapan semenjak bekerja di Hotel Adya Langkawi kira-kira tiga tahun lepas.

"Sebelum ini saya pernah menemukan wang tunai lebih RM1,000, telefon bimbit dan sebagainya, semuanya saya serahkan kepada pihak hotel untuk dikembalikan kepada pemiliknya. Niat saya hanyalah untuk bekerja dengan amanah," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PKB Hotel Management & Services Nor Saidi Nanyan berkata sifat amanah Siti Nuraminira dalam menjalankan tugasnya menggambarkan nilai-nilai Islamik yang diamalkan oleh rantaian Hotel Adya yang dimilikinya.

"Sebelum ini pun, seorang petugas hotel ini pernah menemukan wang tunai berjumlah RM30,000 dalam bilik penginapan dan kami berjaya mengembalikannya kepada pemiliknya iaitu seorang pelancong dari China. Kami hanya mengharapkan keberkatan daripada usaha kami," katanya.- Kedahnews.com