Pekerja Ladang Warga Pakistan Dituduh Rasuah Polis


KUALA TERENGGANU – Seorang pekerja ladang warga Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini kerana memberi suapan RM200 kepada anggota polis 8 Jan lalu.

Tertuduh, Zeb Gulab, 24, didapati memberi suapan tersebut kepada Lans Koperal Sebri Shukri pada kira-kira 8.30 malam dalam mukim Kijal, Kemaman, sebagai dorongan untuk tidak dikenakan tindakan atas kesalahan gagal mengemukakan dokumen lesen memandu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh kurang fasih berbahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Hakim Mohd Haldar Abd Aziz menetapkan 31 Jan ini sebagai tarikh untuk penyediaan jurubahasa.

Tertuduh juga tidak diberikan jaminan dan dihantar semula ke Penjara Marang sehingga tarikh tersebut.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Hanafi Abd Rahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama