CHANGSHU, China - Iraq tampaknya sudah mula melancarkan perang psikologi ke atas pemain-pemain Malaysia menjelang perlawanan pembukaan dalam Kumpulan C Kejohanan Bawah 23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Changshu pada Rabu ini.
Semua pasukan dalam Kumpulan C termasuk Arab Saudi dan Jordan menginap di hotel yang sama dan penjaga gol skuad negara Haziq Nadzli berkata pertemuan mereka dengan pemain negara rantau Teluk itu hari ini tidak berlangsung dengan baik.
Menceritakan provokasi dialami pemain Malaysia, penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) Jafri Muhammad Firdaus Chew berkata dia dan rakan-rakannya diganggu oleh anak-anak buah Abdul Ghani Shahad itu sewaktu mereka berkongsi lif namun Haziq menganggap perbuatan tersebut tidak matang dan tidak perlu dibalas.
“Sewaktu kami berkongsi lif ada pemain Iraq yang mendekati Jafri dan kemudian merenung mukanya depan-depan seperti mahu ajak bergaduh dan Jafri tidak membalas.
“Bagaimanapun, kawan saya (Ifwat Kamal Chek Kassim) cuba mempertahankan Jafri dengan melakukan renungan tajam terhadap pemain Iraq. Kami juga berkongsi tempat makan yang sama dan mereka ada melakukan tindakan sebegitu tetapi kami malas untuk melayan.
“Kami tahu sudah menjadi budaya dalam bola sepak akan ada pasukan lawan yang cuba melakukan perang psikologi dan kami tidak terkesan pun. Mungkin ini sebahagian taktik mereka,” katanya kepada pemberita.
Mengulas mengenai kekuatan lawan, pemain berusia 19 tahun itu mengakui Iraq merupakan pasukan pilihan namun itu tidak bermakna Malaysia terlalu menghormati mereka dan sebaliknya akan berusaha untuk memberi saingan.
“Tidak dinafikan Iraq memang lawan yang bahaya dan selain mempunyai pemain yang fizikal mereka besar, mereka juga laju, namun itu tidak bermakna kami sudah mengangkat bendera putih.
“Cabaran tetap diberikan sebab itu tujuan kami ke sini. Kami tidak akan memberi laluan mudah kepada semua pasukan,” katanya.
Tambah Haziq lagi, insiden melepaskan gol sendiri ketika final Sukan SEA pada Ogos lalu yang berkesudahan tewas 1-0 sudah dilupakan.
Sumber: Utusan Online