Pembantu Gerai Di Alor Setar Dituduh Cabul Adik Sendiri


ALOR SETAR - Lelaki yang  bekerja sebagai pembantu gerai berusia 31 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Alor Setar, semalam, atas pertuduhan mencabul kehormatan adik perempuannya bulan lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dibacakan dan diterangkan pertuduhan itu oleh jurubahasa mahkamah pada prosiding di hadapan Majistret Mohd Aizuddin Zokeply.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada adik perempuannya berusia 29 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya di tandas sebuah rumah di Kampung Borhan, Jalan Langgar, Alor Setar, pada 7 Disember 2017, jam 7.40 malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan jika disabitkan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman tersebut.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa.

Bagi Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Saidina Khatijah Zaharah Khairunisak Mohd Noor merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan tertuduh menanggung ibu yang sakit dan tidak bekerja.

Jelasnya, tertuduh anak keempat daripada lima beradik, bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan gaji RM30 sehari sebelum ditangkap.

Memetik MyMetro, mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa dalam apa jua keadaan termasuk melalui telefon bimbit.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula dan lantikan peguam pada 4 Februari depan.- Kedahnews.com