ALOR SETAR - Panik menjadi punca utama masalah kekurangan bekalan minyak masak paket sekilogram (kg) di Kedah sejak sebulan lepas.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah, Chin Ching Chung berkata, tindakan sebilangan peniaga makanan membuat pembelian dalam kuantiti yang banyak dan berlebihan menjadi penyebab minyak masak berkurangan.
"Tindakan peniaga makanan membuat pembelian panik dan menyimpan bekalan minyak menyebabkan pengguna biasa tidak dapat membeli minyak bersubsidi itu.
"Bagaimanapun, bekalan minyak mencukupi memandangkan kuota yang diterima untuk menampung keperluan pengguna, adalah 2,722 tan setiap bulan di negeri ini," katanya selepas pemeriksaan bekalan minyak di sekitar Alor Setar, semalam.
Nasihatnya, para peniaga dan orang ramai diminta agar tidak mementingkan diri sendiri selain membuat pembelian panik kerana bekalan minyak masak di pasaran masih mencukupi. - Kedahnews.com