KUALA NERANG - Seorang pemilik kedai makanan di Desa Keda Bukit Kura, di sini kecewa dengan tindakan beberapa ahli Pakatan Harapan yang didakwa menceroboh masuk ke kedainya bagi menyampaikan sumbangan kepada orang ramai, Isnin lalu.
Siti Zubaidah Ahmad, 52, berkata, kejadian berlaku pada jam 9 malam ketika dia sedang sibuk memasak untuk pelanggan.
"Tiba-tiba muncul beberapa ahli Pakatan Harapan dekat kedai nak buat program penyampaian sumbangan barangan dapur kepada penduduk di Desa Keda Bukit Kura ini.
"Saya terkejut sebab mereka langsung tak maklumkan terlebih dulu tentang program itu hingga menyebabkan ramai pelanggan dekat kedai turut keluar," katanya.
Menurutnya, pada program itu, beberapa ahli Pakatan Harapan turut memberi ceramah ringkas di dalam kedai ketika beberapa pelanggan sedang menjamu selera.
"Beberapa bendera dan bunting turut dipasang di keliling kedai itu hingga menyebabkan pelanggan kurang selesa dengan tindakan beberapa ahli Pakatan Harapan itu," katanya.
Malah dia difahamkan, terdapat seorang penduduk yang membawa ahli Pakatan Harapan itu ke kedai tanpa meminta izinnya terlebih dahulu.
"Sepanjang berniaga di sini, saya tak pernah izinkan mana-mana parti politik buat sebarang program, apatah lagi saya hanya menumpang di tanah milik Keda saja.
"Sebagai peniaga, saya hanya menerima tempahan makanan jika ada pihak yang mahu menempah untuk sesuatu program," katanya.
Sementara itu, Pegawai Pembangunan Keda Zon Dua Padang Terap, Zulkifli Jaafar berkata, pihaknya menganggap perbuatan pihak berkenaan mengadakan program di kedai itu sebagai menceroboh.
Menurutnya, pihak berkenaan perlu meminta keizinan dan perbincangan daripada Keda terlebih dahulu sebelum mengadakan sebarang aktiviti.
“Kampung ini di bawah penyeliaan Keda dan mana-mana pihak yang mahu membuat sebarang program perlu merujuk kepada agensi ini terlebih dahulu,” katanya.
Sumber: Sinar Online