Peminat, Adik Akui Terkejut Farid Kamil Dicekup Polis


SUSULAN berita penangkapan pelakon bergelar Datuk iaitu Farid Kamil yang didakwa menampar seorang anggota polis hari ini, laman sosial artis terkenal itu dibanjiri pelbagai reaksi peminat.

Malahan rata-rata netizen terkejut sejurus mendengar perkhabaran berita buruk itu kerana selama ini Farid cukup dikenali sebagai aktor tanpa masalah disiplin dengan mempunyai imej dan juga reputasi yang bersih.

@m_ismail_. menulis,  “Saya tak percaya. Saya yakin itu hanya lakonan untuk filem baru kan?”

“Tidak percaya yang Farid menampar penjawat awam di balai polis,” kata @fuad_johor92 pula.

“Dah baca. Sungguh ke berita cakap dalam pengaruh dadah lagi tampar polis? Moga hanyalah khabar angin,” tulis sania_atkins.

Sementara itu selain daripada netizen, adik kepada selebriti tersebut iaitu Fadzil Zahari turut mengakui berasa amat terkejut selepas dimaklumkan berhubung hal berkenaan.

Namun menurut Fadzil, dia enggan mengulas dengan lebih lanjut berhubung hal itu sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

“Apa yang saya tahu, dia bukan begitu. Saya memang terkejut apabila dia ditahan pihak polis kerana didakwa menampar anggota polis dan menimbulkan kekacauan dalam kalangan orang awam di dalam balai polis tersebut.

“Ibu dan bapa di kampung (Alor Setar) dan mereka sudah tahu tentang hal ini. Semoga mereka dikuatkan hati untuk berdepan dengan berita mengejutkan ini,” ujar Fadzil dipetik sebuah portal online.

Dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 1.20 petang Khamis itu, Farid dilaporkan datang ke balai polis berkenaan pada mulanya untuk membuat laporan mengenai satu kes kemalangan jalan raya.

Ketika sedang berurusan, pelakon terlibat secara tiba-tiba didakwa bertindak menampar muka petugas yang menerima aduan. Kejadian itu disaksikan oleh beberapa anggota lain dan orang awam. –Kedahnews.com