Penagih Cemas Diserbu, Lari Tinggalkan Motosikal Di Kulim


KULIM - Sekumpulan penagih yang sedang asyik melayan gian dadah bertempiaran lari untuk meloloskan diri apabila 'port' tumpuan mereka di sini diserbu pihak berkuasa, semalam.

Tindakan itu bagaimanapun tidak berhasil apabila mereka ditahan sepasukan anggota yang sudah mengepung lokasi terbabit.

Dua lokasi tumpuan penagih, iaitu di Kampung Bukit Chong di Jalan Merbau Pulas dan Sungai Karangan, di sini, diserbu melalui operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi bertujuan menangani masalah penagihan dadah di kawasan terbabit.

Selain anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kulim, turut serta dalam operasi bermula 6.30 pagi hingga 2 petang itu ialah anggota dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kulim.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar, berkata susulan aduan dan risikan, pihaknya bertindak menyerbu dua lokasi terbabit dengan sembilan penagih berusia antara 24 hingga 52 tahun ditahan.

"Ketika serbuan itu, semua penagih panik melihat kehadiran pihak berkuasa dan terus melarikan diri meninggalkan motosikal, namun gagal apabila semuanya ditahan.

"Dalam operasi itu juga kita merampas dadah jenis heroin seberat 3.13 gram dan syabu seberat 0.45 gram," katanya, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, dua suspek disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lagi mengikut Seksyen 39A(1) akta yang sama.

Baki enam lagi, katanya diserahkan kepada AADK untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983.

Beliau turut mengesahkan lokasi sarang penagihan yang diserbu itu dimusnahkan pihaknya untuk mengelak ia kembali menjadi tumpuan penagih.

Sumber: BH Online