Pencapaian Skuad Bola Sepak Terbaik, JDT Terima Pengiktirafan MBOR


JOHOR BAHRU - Kelab bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) melakar sejarah apabila muncul satu-satunya pasukan yang bersaing di Liga Malaysia (Liga M) mendapat sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) di atas pencapaian sejak 2013.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan menerima empat pengiktarafan yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Wong pada majlis yang diadakan di sebuah hotel terkemuka, di sini.

Antara pencapaian JDT sehingga mendapat pengiktirafan MBOR adalah menjadi pasukan pertama dari rantau Asia Tenggara memenangi Piala AFC pada 2015, menjadi pasukan pertama di negara untuk muncul juara Liga Super empat musim berturut-turut pada 2014, 2015, 2016 dan 2017.

Selain itu pengiktirafan juga diberikan kepada skuad Harimau Selatan di atas kejayaan mengekalkan rekod tanpa kalah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 2013, 2014, 2015, 2016 dan 2017 malah mengekalkan rekod tanpa dalam semua perlawanan liga pada musim 2016.

"Kita sebagai satu kelab harus berjaya di dalam dan di luar padang, untuk pastikan kami sentiasa konsisten dan paling utama berada dalam kedudukan kewangan yang kukuh malah sentiasa berkembang untuk maju ke hadapan dan bukan duduk statik."

"Kami di JDT tidak mengenal erti putus asa malah kami juga tidak tahu apa erti berpuas hati kerana kami sentiasa mahu mencabar diri sendiri untuk bersaing di peringkat lebih tinggi terutama berada dalam pertandingan bertaraf antarabangsa.

"Ketika musim 2013 saya mengambil alih, saya melihat saingan liga adalah penanda aras namun ketika itu pasukan lain tidak pandang untuk menang liga tetapi kami sebaliknya berusaha dan bertungkus lumus melakukan pembaharuan bagi mencapai apa yang disasarkan," katanya.

Mengulas mengenai kekalahan JDT kepada Muangthong United FC pada aksi pusingan kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL), Tunku Ismail menegaskan beliau bersikap realistik dan berpandangan sukar untuk JDT melakar kemenangan kerana kelab dari Thailand itu berpengalaman dan pernah layak ke pusingan kalah mati saingan ACL dan memiliki pencapaian tinggi.

Katanya, kemajuan bola sepak di Thailand dan Malaysia amat jauh berbeza tatkala juara liga super empat berturut-turut boleh tumpas dengan Muangthong 2-5, bayangkan nasib bakal menimpa pasukan lain.

"Saya bersikap realistik dan kekalahan kepada kelab dari Thailand itu tidak mengejutkan kerana jika kita menang ke atas pasukan itu dan akan berdepan kelab di Jepun.

"Adakah kita mampu kalahkan kelab dari Jepun di sana, sudah tentu tidak. Oleh itu kita kena menang pada saingan liga musim ini untuk layak ke peringkat kumpulan ACL secara automatik," kata Tunku Ismail.

Sumber: BH Online