Pengantin Dari Baling Diarak Naik Traktor Berhias


ALOR SETAR - Pasangan pengantin yang berasal dari Baling, Kedah ini telah membuat kelainan di hari bahagia mereka apabila diarak menaiki traktor.

Kenangan terindah terukir setelah keluarga pengantin lelaki dari Kampung Charok Gorok, memilih untuk menyambut pengantin perempuan dengan berarak menaiki traktor, pada Ahad.

Menurut pengantin lelaki, Ismail Ibrahim,46, berkata, idea berarak dengan traktor berkenaan adalah cetusan daripada rakan baiknya yang berbangsa Cina.

“Idea ni mai daripada kawan baik saya iaitu Ah Hok sejak sebulan lepas, dia tauke sayur di kawasan ni.

“Mula-mula saya tolak idea tu, segan la juga kita pun. Tapi Ah Hok bersungguh-sungguh nak saya dan isteri dibawa berarak dengan traktor dihias,” katanya memetik Sinar Online.

Jelasnya, Ah Hok turut menyumbang pelbagai jenis sayur-sayuran untuk majlis kenduri tersebut.

Awalnya, dia sama sekali tidak menyangka apabila perarakan sejauh 500 meter itu menerima sambutan luar biasa daripada penduduk terdiri daripada kanak-kanak dan orang dewasa.

“Selepas isteri sampai ke kampung jam 12.30 dari Alor Setar, kami terus dibawa berarak dari masjid ke rumah saya.

“Tapi saya tak sangka apabila lebih 100 penduduk turut serta ikut traktor untuk berarak sambil berselawat. Jalan kampung pun cukup sesak,” ujarnya.

Tambah Ismail, pengalaman itu tidak akan dilupakan, tambahan pula ia adalah saat manis pada hari pertama perkahwinan.

“Terima kasih juga kepada semua penduduk kampung yang membantu memeriahkan majlis kenduri saya,” katanya. - Kedahnews.com