Pengiktirafan MBOR Bukan Untuk Bermegah - Aiman Tino


KUALA LUMPUR - Penyanyi, Aiman Tino, menganggap pengiktirafan diterima daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pembakar semangat buat artis baharu sepertinya untuk terus menghasilkan karya terbaik.

Pengiktirafan diberikan pihak berkenaan juga katanya bukanlah tiket untuk berbangga diri, apatah lagi menjadikannya sebagai alasan untuk bersaing dan menunjukkan siapa yang lebih bagus.

"Ia sebaliknya mendorong saya untuk terus melangkah lebih maju dalam industri seni. Selain itu, saya berharap pengiktirafan diberikan ini dapat dijadikan sebagai pembakar semangat untuk artis baharu dan mereka yang seangkatan dengan saya untuk menghasilkan karya lebih baik," katanya.

Artis berusia 19 tahun itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengiktirafan oleh MBOR buat dirinya sebagai penyanyi tempatan dengan jumlah tontonan tertinggi di YouTube, di sini semalam.

Ia dicapai menerusi lagu sulungnya, Ku Rela Dibenci, yang mencatat 43 juta tontonan di laman video terbabit.

Diadakan sekali ialah majlis pelancaran single Terasa Cinta nyanyian kakaknya, Fara Hezel, yang turut menampilkan Aiman menyanyikan bahagian rap.

"Memang saya teruja dengan pencapaian ini kerana permulaan saya dalam industri muzik pun sebenarnya berlaku tanpa diduga.

"Apabila nyanyian kini menjadi kerjaya serius, saya tidak boleh main-main lagi. Saya mempunyai pengikut yang pastinya mahukan sesuatu yang terbaik daripada diri ini," katanya.

Selain single pertama, lagu keduanya, Permata Cinta, juga mendapat tontonan yang tinggi di laman berkenaan, dengan jumlah melebihi 30 juta kali.

Aiman bagaimanapun menepis dakwaan kononnya beliau 'membeli' tontonan di YouTube. Tanggapan nakal itu muncul apabila ada yang melihat kepada jumlah pengikutnya di Instagram, iaitu sekadar 1.1 juta orang.

Katanya, sambutan hebat diberikan kepada lagu terbabit kerana peminat mahu mengenalinya sebagai orang baharu dalam dunia muzik.

"Saya tidak membuang duit dengan membeli tontonan. Sebaliknya, lagu Ku Rela Dibenci mendapat jumlah tontonan yang banyak mungkin kerana Aiman Tino muncul secara tiba-tiba dalam industri ini dan orang ramai hendak mengenali siapa dirinya.

"Apabila single kedua dikeluarkan pula, jumlahnya berkurangan dan ia mungkin hanya ditonton oleh mereka yang menyukai serta meminati saya," katanya yang kini dalam proses menyiapkan lagu terbaru.

Sumber: BH Online