LAGAK sekumpulan anggota penguat kuasa yang mengasari peniaga ikan di sebuah pasar basah mengundang kecaman hebat netizen menerusi media sosial.
Kejadian yang berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) itu dipercayai berlaku pada 13 Januari di pasar basah Pasir Penambang, Kuala Selangor, Selangor.
Berdasarkan video berdurasi satu minit 30 saat, tiga anggota penguat kuasa berkenaan pada mulanya dilihat menghampiri tempat berniaga peniaga terbabit sambil memberitahu sesuatu kepadanya.
Namun salah seorang daripada anggota itu secara tiba-tiba menarik jatuh bekas plastik hitam peniaga berkenaan dan kemudian menterbalikkan sebuah lagi bekas yang penuh berusi ikan sehingga jatuh ke lantai.
Peniaga terbabit sebelum itu dilihat cuba meminta anggota berkenaan tidak berbuat demikian, namun tidak diendahkan.
Akibatnya, peniaga berkenaan terpaksa mengutip semula ikan-ikan yang berterabur di lantai sambil dirakam oleh salah seorang anggota penguat kuasa terbabit.
Rata-rata pengguna media sosial mempersoal prosedur penguatkuasaan yang diambil sungguhpun jika peniaga itu didapati melanggari peraturan.
Menurut netizen, kaedah yang lebih matang dan berhemah sepatutnya digunakan dalam isu tersebut demi kebaikan bersama, bukannya bertindak kasar seperti itu yang akhirnya mencemarkan imej badan beruniform.
“Kurang ajarnya penguat kuasa ni, kot iya pun berhemah la dalam menjalan tugas, tak kira lah peniaga tu bangsa apa pun, bongkak sangat gayanya,” tulis Salma Ali.
“Di pasar dia bertindak zalim, kat ofis dia reka cerita lain agar nampak tindakan dia betul, ada beberapa penguatkuasa tempatan yang tak layak dapat respek orang awam,” kata Khairul Nizam bakar.
Namun ada juga segelintir yang tidak menolak kemungkinan bahawa peniaga terbabit telah meletakkan bekas tersebut di tempat yang tidak sepatutnya sehingga menganggu laluan para pengunjung pasar basah berkenaan.
“Peniaga tu block lorong pejalan kaki kot atau terlebih laluan meniaga agaknya, tapi tak perlu rasanya sampai nak lempar ikan tu, dah tua kot masih nak cari dosa ke? Yang seorang dah lari dulu macam muka tak bersalah je,” kata Abuzar Daud. - Kedahnews.com