Pengurus Bola Sepak Amatur Direman 5 Hari


SEREMBAN - Pengurus kelab bola sepak amatur yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, kerana dipercayai mengatur perlawanan, direman lima hari, bermula hari ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman, Mas Azmimin Ahmad selepas permohonan dibuat oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Khairi Abdul Karim di sini, pagi tadi.

Penahanan reman itu bagi membolehkan siasatan terhadap lelaki berusia 38 tahun itu dilakukan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

Hari ini, BH melaporkan jurulatih kelab bola sepak amatur ditahan kerana mengatur perlawanan dan SPRM semalam menahan seorang pengurus pasukan kerana terbabit dalam kes sama.

Sumber berkata, suspek ditahan ketika hadir ke pejabat SPRM Negeri Sembilan di sini, untuk memberi keterangan pada jam 3.25 petang.

Katanya, siasatan mendapati suspek dipercayai memberi sejumlah wang kepada jurulatih pasukan lawan itu untuk memastikan pasukannya menang dalam perlawanan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) pada November tahun lalu.

"Pengurus pasukan berkenaan didapati bersubahat dengan jurulatih kelab yang dihadapinya untuk mengatur perlawanan itu supaya memihak kepada pasukannya.

"Dalam perlawanan berkenaan, pasukannya menang dengan jumlah jaringan besar sehingga menimbulkan rasa curiga beberapa pihak yang kemudian membuat laporan polis sebelum kes disiasat SPRM," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani, ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek tetapi enggan mengulas lanjut.

Sumber: BH Online