ALOR SETAR - Penangguhan mengejut Fiesta Taman Bercahaya & Belon Udara Panas di Taman Jubli Emas, di sini, kelmarin menimbulkan kekesalan kepada 100 peniaga apabila mendakwa ia menyebabkan mereka kerugian lebih RM300,000.
Mereka menyatakan fiesta itu sepatutnya berlangsung 11 hari bermula 24 Januari lalu menyebabkan mereka tertarik menyewa tapak gerai di situ.
Bagaimanapun, sebaliknya yang berlaku apabila mereka hanya dapat berniaga dua hari dan mengalami kerugian termasuk membayar kos pekerja, stok barangan dan tapak gerai.
Seorang wakil peniaga, Mohd Zamri Said, 45, berkata, mereka buntu dan kesal dengan tindakan penganjur tersebut yang dilihat tidak profesional apabila tiba-tiba membatalkan penganjuran karnival itu.
“Kami inginkan kepastian mengapa fiesta ini dibatalkan secara tiba-tiba dan atas arahan siapa.
“Penganjur melalui kenyataan bertulis semalam (kelmarin) menyatakan bahawa pegawai tertinggi kerajaan negeri tidak mahu sebarang acara berprofil tinggi diadakan di Alor Setar sebelum Ekspo Muafakat Kedah pada 24 Februari depan,” katanya di tapak fiesta di sini, semalam.
Mengulas lanjut perkara tersebut, katanya, peniaga juga dikenakan bayaran sewa tapak berbeza oleh penganjur antara RM500 hingga RM4,420.
“Sebenarnya tujuan kami mengadakan sidang media ini kerana kami bimbang perkara yang menimpa kami berlaku kepada orang lain selepas ini serta mahu penganjur bertanggungjawab sepenuhnya dengan memulangkan duit sewa tapak yang dibayar sebelum ini,” katanya memetik MyMetro.
Sementara itu, Pengarah Projek Fiesta Taman Bercahaya & Belon Udara Panas Alor Setar, Abdul Halim Ahmad dari Axiacom Marques Sdn Bhd berkata, syarikat itu memutuskan untuk menangguhkan fiesta pada minggu ketiga Mac atas beberapa alasan.
Tambahnya, hujan menyebabkan pemasangan bunga ros bercahaya LED (diod pemancar cahaya) tidak dapat dilakukan di padang basah dan berlumpur di Taman Jubli Emas seperti dijadual pada 20 Januari lalu.
“Selepas pemantauan kami memutuskan pemasangan boleh dilakukan kontraktor pada 24 Januari.
“Namun, pada jam 9.16 pagi hari berkenaan, kami dihubungi pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri bahawa kerajaan negeri membatalkan kelulusan fiesta itu kerana sebab tertentu.
“Saya merujuk perkara ini kepada peguam syarikat dan diminta akur, sehubungan itu, kami membatalkan segala persiapan pemasangan bunga ros LED, penghantaran beca LED ke Alor Setar, pemasangan bunting, kerja pendawaian, belon udara panas, tempahan artis, peralatan pentas, iklan melalui Facebook dan sebagainya.
“Namun pada jam 12.12 tengah hari sama, kerajaan negeri memohon maaf atas kesilapan dan membenarkan semula kami meneruskan fiesta,” ujarnya.
Jelas Abdul Halim, selepas bermesyuarat syarikatnya memutuskan untuk menangguhkan acara itu ke tarikh baru kerana bimbang impak penarikan kelulusan oleh kerajaan negeri.
“Pengunjung minat untuk datang tengok bunga ros LED dan belon panas, jika ada gerai jualan saja tidak ramai yang akan datang, ini boleh merugikan kami,” katanya. - Kedahnews.com