Penukaran Agama Anak Mualaf Tidak Sah - Mahkamah Persekutuan


PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan sebentar tadi memutuskan bahawa penukaran agama tiga anak oleh bapa mualaf mereka, hampir 10 tahun lalu terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin  memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan akhir guru tadika, M. Indira Gandhi yang mencabar tindakan bekas suami, Mohd. Ridhuan Abdullah menukar agama tiga anak mereka, Tevi Darsiny, Karan Dinish dan Prasana Diksa.

Kuorum berkenaan sebulat suara berpuas hati bahawa penukaran agama mereka perlu mendapat keizinan kedua-dua ibu bapa kanak-kanak tersebut sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf.

Guru tadika itu merayu selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 30 Disember 2015 yang tidak memihak kepadanya.

Panel tiga hakim ketika itu diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi (kini hakim Mahkamah Persekutuan) dalam keputusan majoriti 2-1 berpuas hati bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk menentukan perkara-perkara berkaitan agama Islam.

Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan Mohd. Ridhuan serta empat yang lain untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh, Perak yang membatalkan sijil penukaran agama tiga anak lelaki itu.

Selain Pengarah JAIP dan Mohd. Ridhuan yang dahulunya dikenali sebagai K. Pathmanathan, perayu-perayu lain terdiri daripada Pendaftar Pertukaran Agama, kerajaan negeri Perak, Kementerian Pendidikan dan kerajaan Malaysia.

Sumber: Utusan Online