Penyelia Durjana Raba Kemaluan Anak Teman Wanita


KAJANG - Seorang penyelia tergamak melakukan perbuatan jijik dan memalukan apabila sanggup mencabul anak perempuan teman wanitanya berusia 11 tahun.

Difahamkan kejadian tersebut berlaku beberapa kali sejak Ogos lalu sebelum mangsa menceritakan peristiwa hitam itu kepada ibunya pada 9 Disember lalu.

Lelaki berkenaan dikatakan telah memegang kemaluan mangsa dan merabanya selain pernah menyentuh buah dada kanak-kanak terbabit.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, bertindak atas laporan polis yang dibuat, suspek berusia 37 tahun telah ditahan dalam Ops Cantas di Taman Kasturi, di sini, kira-kira jam 12.15 tengah malam, kelmarin.

Menurutnya, suspek ini telah direman selama lima hari sehingga Khamis dan semakan rekod serta ujian air kencing telah dijalankan, dapati negatif.

“Berdasarkan keterangan awal yang diperoleh, suspek tidak mengaku melakukan perbuatan tersebut. Suspek mendakwa telah mengenali mangsa dan ibunya kira-kira dua tahun,” katanya.

Beliau berkata, malah sepanjang tempoh itu, suspek juga membenarkan teman wanitanya (ibu mangsa) bersama mangsa tinggal bersamanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan  Seksyen 377CA Kanun Keseksaan.

Sumber: Sinar Harian