KUALA LUMPUR – Perancangan yang lemah dan kos sara hidup tinggi menjadi dua penyebab utama masalah kewangan dialami individu yang mendapatkan bantuan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), kata Ketua Pegawai Eksekutif, Azaddin Ngah Tasir semalam.
Beliau berkata data AKPK menunjukkan 43.3 peratus mereka yang mendapatkan bantuan adalah disebabkan perancangan kewangan yang lemah diikuti 21.8 peratus akibat kos sara hidup tinggi selain perniagaan lembap dan gagal (14.5 peratus).
Penyebab lain termasuk perbelanjaan perubatan yang tinggi (8.8 peratus), kehilanganpekerjaan/pemberhentian kerja/kehilangan individu yang menanggung kehidupan (9.4 peratus) dan lain-lain (2.2 peratus).
Sejak agensi itu ditubuhkan pada 2006, sebanyak 683,169 individu telah mendapatkan bantuan, daripada jumlah tersebut, 210,814 orang atau 30.9 peratus adalah di bawah Program Pengurusan Kredit (DMP), dan 15,439 kes melibatkan RM617.4 juta dapat diselesaikan setakat 31 Dis, 2017.
‘Kira-kira 73 peratus daripada mereka yang mendapatkan bantuan adalah berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan, dan kami berpendapat mereka mendapat pendedahan berlebihan memandang remeh komitmen yang perlu mereka tanggung.
“Mereka tidak tahu bagaimana untuk menguruskan belanjawan secara serius dan apa yang perlu diutamakan. Jadi, apabila mereka membuat silap, mereka tidak boleh menampungnya kembali kerana tiada penampan,” katanya di luar taklimat kesedaran program Perkiraan Sukarela (VA) di sini, semalam.
Azaddin berkata, tidak wujud stigma terhadap mereka yang datang mendapatkan bantuan AKPK.
“Jika anda datang ke AKPK, anda hadir bersama-sama hutang dan sebagainya, namun hari ini kami menyaksikan ramai yang menerima AKPK sebagai tempat untuk membantu mereka menstrukturkan semula dan menguruskan kewangan serta hutang,” katanya.
Beliau berkata jumlah individu yang mendapatkan bantuan AKPK meningkat.
Perkhidmatan yang ditawarkan AKPK bagi pendidikan kewangan, kaunseling dan pengurusankewangan serta DMP adalah percuma.
AKPK memperkenalkan perkhidmatan VA baharu hari in, yang merupakan mekanisme penyelamat sebelum bankrap bagi ketua-ketua pusat kutipan dan pemulihan, serta jabatan dari pelbagai institusi kewangan dan penyedia kredit.
VA, yang bertujuan membantu mereka yang berpotensi bankrap, adalah pilihan terakhir penghutang untuk merundingkan pelan pembayaran semula boleh laksana bersama-sama pemberi kredit untuk mengelak bankrap. – Bernama