Perkeso Terima 33 Permohonan Bantuan Hilang Kerja


PUTRAJAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerima  33 permohonan bantuan interim Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) daripada individu yang hilang pekerjaan pada tahun ini sejak pelaksanaan SIP berkuat kuasa 1 Januari lepas, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot.

Beliau berkata siasatan rapi terhadap dakwaan mereka akan dijalankan selama tujuh hari bekerja dan sekiranya benar, individu yang kehilangan pekerjaan itu layak menerima faedah interim sebanyak RM600 bagi tempoh maksimum tiga bulan di bawah Akta Sistem Insurans 2017.

“Faedah interim ini dibiayai oleh kerajaan dengan peruntukan RM122 juta yang disalurkan kepada Perkeso. Jadi, kalau sudah hilang kerja, sila lapor kepada kita,” kata Riot kepada pemberita selepas menyampaikan amanat Tahun Baharu 2018 pada perhimpunan  bulanan kementeriannya di sini pada Khamis.

Menurutnya, SIP merupakan program jaringan keselamatan sosial yang melibatkan insurans pekerjaan dan perkhidmatan pekerjaan yang menyediakan faedah berbentuk kewangan sementara, carian pekerjaan, penempatan pekerjaan, kaunseling kerjaya dan program latihan bagi membantu mereka mendapat pekerjaan baharu.

Pemohon juga perlu menyertai Program Penempatan Pekerjaan Semula yang dikawal  selia oleh Perkeso untuk meningkatkan produktiviti mereka, katanya.

“Langkah ini dilaksanakan bagi memperkasakan perlindungan keselamatan sosial serta pekerja yang kehilangan kerja akan dibantu secara khusus bagi mendapatkan pekerjaan baharu melalui perkhidmatan pekerjaan yang disediakan,” katanya.

Riot berkata pelaksanaan SIP akan memberi manfaat  perlindungan kepada 6.5 juta pekerja sedia ada di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

“Mereka  secara automatik dilindungi di bawah sistem ini untuk memastikan jaringan keselamatan sosial pekerja yang diberhentikan terus terjamin,” katanya.

Riot berkata majikan yang gagal mematuhi pelaksanaan SIP boleh dikenakan tindakan tegas antaranya kompaun atau denda RM10,000 atau penjara selama dua tahun.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan SIP boleh menghubungi Perkeso di talian 1300 22 8000 atau melayari laman sesawang rasmi Perkeso www.perkeso.gov.my/sp atau hadir sendiri ke kaunter Perkeso di seluruh negara, katanya. – Bernama