Persekolahan 2 Beradik Dari Sungai Petani Terbantut, Rumah Hangus Dalam Kebakaran


ALOR SETAR - Hasrat dua beradik mene­ruskan sesi persekolahan 2018 yang baru tiga hari ditempuhi terbantut apabila rumah mereka di Persiaran Amanjaya, Sungai Lalang, Bedong dekat sini hangus dalam kebakaran semalam.

Kebakaran kira-kira pukul 2 pagi itu menyebabkan Akif Rohai­zat, 17, dan adiknya Auni, 12, kehilangan semua pakaian seragam dan peralatan sekolah mereka.

Menurut sumber, ini merupakan kebakaran kali kedua yang dialami meraka yang turut menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang kerana semua pakaian, peralatan dan dokumen penting keluarga gagal diselamatkan.

Sebelum ini, pada tahun 2015 rumah yang didiami bersama bapa, Rohaizat Ismail, 48, dan ibu, Rosmiza Shuib, 31, pernah terbakar di bahagian dapur tetapi tidak melibatkan kemusnahan besar.

Jelas Rohaizat, ketika keja­dian, mereka sekeluarga tiada di rumah kerana keluar makan malam dan menonton wayang gambar di Cmart Amanjaya Mall.

“Kebakaran itu turut menye­babkan semua pakaian seragam dan peralatan persekolahan dua anak yang terdapat di dua bilik musnah bersama barangan lain,” katanya yang bekerja di sebuah kilang dekat sini.


Sementara itu, Akif yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bedong berkata, sebelum keluar mengikuti bapa pada pukul 10 malam, dia dan adiknya membuat persiapan seperti memilih baju dan buku mengikut jadual untuk ke sekolah semalam.

“Saya sedih kerana semua pakaian dan kelengkapan sekolah musnah bersama barangan lain menyebabkan kami gagal meneruskan persekolahan hari ini ( Rabu) kerana yang tinggal ialah sepasang kasut sekolah adik saya yang diletakkan di rak kasut di luar rumah sahaja,” katanya yang memetik Utusan Online.

Sementara itu, Pegawai Perhu­bungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kebakaran di rumah teres berkembar itu pada pukul 2.06 pagi.

“Sebaik sampai, kita mendapati rumah Rohaizat 80 peratus terbakar manakala dua rumah kiri dan kanannya turut mula terbakar tetapi berjaya dikawal kemudiannya dengan bantuan penduduk,” ujarnya. - Kedahnews.com