Persekolahan Di Kedah Tak Terjejes Walaupun Suhu Sejuk


ALOR SETAR - Bacaan suhu sejuk pagi ini di seluruh negeri Kedah sehingga mencecah 20 darjah Celsius dilihat langsung tidak menjejaskan sesi persekolahan di negeri terbabit.

Meskipun begitu, kebanyakan pelajar yang tidak biasa dengan suhu yang mendingan itu memilih untuk mengenakan baju sejuk bagi memanaskan badan.

Terdapat juga diantara pelajar yang terpaksa  mandi air panas dek kerana tidak tahan dengan air paip yang sangat sejuk.

Seorang pelajar Fatin Aiman Ismail, 17 tahun, berkata, cuaca agak sejuk dan berkabus sejak kebelakangan ini membuatkan dia terpaksa bangun awal untuk menjerang air mandian.

“Sejuklah dengan kabus lagi, ada macam rasa malas bangun sebab sejuk. Kalau hari cuti boleh sambung tidur, hari sekolah sejuk tak bolehlah nak sambung tidur,” kata Fatin.

Menurut Addy Arman Ghazali, 14 tahun, dia sememangnya mengamalkan mandian air panas sudah sejak fenomena cuaca sejuk dan tidak menentu yang berlaku kebelakangan ini.

“Rasa lain sikit sebab sejuk. Kalau sebelum ini, datang sekolah taklah sejuk sangat macam ini. Terpaksalah mandi air panas sebab sejuk sangat,” kata Addy Arman.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Kedah, Datuk Azuyah Hassan berkata, meskipun suhu sejuk terjadi di Kedah, tetapi jumlah kehadiran ke sekolah pada pagi ini adalah seperti biasa kerana hampir 97 peratus pelajar hadir ke sekolah.

Namun begitu, pihak JPN menasihati ibu bapa dan pelajar agar menjaga kesihatan masing-masing ekoran perubahan mendadak suhu ini dibimbangi akan mengakibatkan pelbagai penyakit seperti demam dan asma.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan keadaan ini berlaku berikutan cuaca mendung, hujan dan pergerakan angin sejuk monsun timur laut yang dijangka berterusan sehingga esok.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya memakai baju tebal pada sebelah malam bagi mengelakkan suhu badan turun secara mendadak dan seterusnya membawa kepada demam panas. - Kedahnews.com