KUALA LUMPUR - Perumahan atau berek polis yang daif akan dinaik taraf bagi memastikan kebajikan anggota dan ahli keluarga mereka terjaga.
Perkara ini diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri.
"Proses ini akan dilaksanakan secara berperingkat. Malah peruntukan ini diberikan kerajaan kerana kami mendapati terdapat perumahan polis yang masih berada dalam keadaan daif," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat salah satu blok perumahan di Markas PGA Cheras di sini semalam.
Apabila ditanya sekiranya kerajaan akan membina kawasan perumahan polis yang baharu, Ahmad Zahid menjawab perkara itu akan dirancang mengikut keperluan sesuatu lokasi.
"Sekiranya di kawasan itu, kos sewaannya mahal dan tiada cukup unit bagi menempatkan anggota, kerajaan akan membina perumahan baharu," kata beliau.
Sumber: Astro Awani