Petani Kedah Jangan Bakar Jerami Sesuka Hati


ALOR SETAR - Bomba Negeri Kedah menasihati golongan petani di negeri jelapang pada agar tidak membakar jerami di petak sawah masing-masing secara sesuka hati selepas musim menuai padi nanti.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Abdul Razak Muda menyuarakan kebimbangan tersebut dan berkehendak supaya petani membakar jerami mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

"Musim menuai padi akan tiba tidak lama nanti. Jadi, kita bimbang petani melakukan aktiviti pembakaran jerami di petak sawah mereka selepas musim menuai secara terbuka.

"JBPM Kedah memandang serius aktiviti pembakaran jerami kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2018 di Padang Kawad Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, semalam.

Sorotan perkara tersebut, Abdul Razak mengingatkan kesemua petani di negeri ini supaya memaklumkan terlebih dahulu aktiviti pembakaran jerami di petak sawah padi yang terlibat ke balai bomba berdekatan bagi mengelakan kejadian tidak diingini berlaku.

Selain itu, petani turut diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran jerami ketika angin kencang, hal ini kerana dikhuatiri ia akan merebak ke tempat lain.

Terdahulu, Abdul Razak melakukan lawatan meninjau tanaman dan haiwan ditempatkan di Taman Rekreasi BBP Alor Setar selepas perasmian taman itu. - Kedahnews.com