PFAM Percaya Liga M 2018 Meriah


KUALA LUMPUR - Di sebalik timbul kerisauan mengenai jumlah kehadiran penonton ke stadium, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) tetap percaya saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini tetap akan berlangsung meriah.

Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya berkata kemeriahan itu dapat dirasakan terutama selepas semua pasukan yang bertanding melakukan persiapan rapi untuk menjadi pasukan terbaik bagi mencabar kejuaraan musim ini.

"Kita lihat banyak pasukan sudah terbuka untuk mendapatkan ramai pemain dalam kalangan negara Asia Tenggara (ASEAN) dan situasi ini sudah pasti dapat menarik kehadiran penonton ke stadium.

"Malah, pasukan juga bekerja keras mendapatkan pemain tempatan dan import yang terbaik untuk pasukan masing-masing sekali gus menjadikan saingan liga musim ini berlangsung lebih sengit.

"Kami yakin penyokong akan tetap memenuhi stadium bagi merasai kemeriahan menyaksikan pasukan kesayangan beraksi, selain turut memberi sokongan kepada mereka," katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam masa sama, Rezal berkata PFAM turut mengharapkan saingan liga musim 2018 akan berlangsung dengan lebih baik dan tiada masalah tercetus berbanding musim terdahulu.

"Semua pasukan sedang membuat persiapan terakhir sebelum saingan liga mula membuka tirainya pada 3 Februari ini dan boleh dikatakan mereka sudah bersedia untuk mengharungi musim baharu ini.

"Justeru, PFAM mengharapkan semua pemain dapat memberikan persembahan yang terbaik dan dengan pelbagai usaha yang diambil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kami optimis masalah seperti mutu pengadilan dan sebagainya dapat diatasi," katanya.

Saingan Liga M akan membuka tirainya pada 3 Februari membabitkan aksi Liga Perdana sebelum aksi Piala Sumbangsih membabitkan juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan juara Piala FA, Kedah berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 4 Februari ini.

Sumber: BH Online