Piala Belia Tukar Ke Piala Tunku Ismail, TMJ Tidak Setuju Namanya Diguna


KUALA LUMPUR – Tunku Ismail Sultan Ibrahim menolak cadangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mahu melakukan penjenamaan semula Piala Belia dengan menukarkan kepada namanya, Piala Tunku Ismail.

Tunku Ismail yang juga Presiden FAM berkata, Piala Belia tidak sepatutnya ditukarkan kepada namanya kerana pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berasakan sumbangan beliau kepada bola sepak tempatan masih belum mencukupi.

“Baru-baru ini Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM telah mencadangkan supaya Piala Belia ditukarkan nama kepada Piala Tunku Ismail. Saya tidak bersetuju oleh kerana saya tiada apa-apa sumbangan kepada bola sepak tanah air.

“Nama piala tersebut mestilah sempena nama individu yang sudah berjasa kepada bola sepak tanah air. Saya cadangkan piala ini ditukarkan kepada nama bekas Presiden FAM iaitu Piala Tengku Abdullah (Sultan Ahmad Shah). Ia bagi menghargai jasa baginda dalam bola sepak tanah air selama ini,” kata beliau yang juga Tengku Mahkota Johor (TMJ) dalam laman rasmi Facebook FAM di sini kelmarin.

Semalam, UTUSAN Malaysia melaporkan Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM berkata, Piala Belia sudah tidak sesuai lagi untuk digunakan.

Katanya, berdasarkan peringkat umur Piala Belia sepatutnya disertai oleh pemain bawah 17 (B-17) dan bukannya bawah 19 (B-19) seperti sekarang.

“Kami membuat keputusan penggunaan Piala Belia tidak lagi sesuai untuk pemain B-19 dan kejohanan itu perlu ditukar kepada Piala Tunku Ismail sempena Presiden FAM,” katanya.

Sumber: Utusan Online