JOHOR BAHRU - Johor Darul Ta'zim (JDT) tampak mengambil pendekatan berhati-hati apabila melayani kunjungan Kedah pada aksi Piala Sumbangsih yang juga pembuka tirai saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, Sabtu ini.
Pengendali JDT, Ulisses Morais jelas gembira dengan prestasi barisan pemainnya yang pantas melupakan kekalahan 2-5 kepada Muangthong United FC pada aksi pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL), baru-baru ini tatkala pemain memberi tumpuan sepenuhnya dalam sesi latihan untuk berdepan skuad kendalian Ramon Marcote.
"Persiapan menentang Kedah berjalan lancar dan juga kami memperbaiki apa jua kesilapan ketika menentang Muangthong malah barisan pemain juga memahami kehendak taktikal yang diterapkan.
Satu perlawanan berintensiti tinggi apabila berdepan Kedah nanti dan kami jangkakan ia perlawanan sukar memandangkan pasukan lawan memiliki barisan pemain terbaik malah ia aksi pertama dalam saingan liga selain memburu kejuaraan Piala Sumbangsih kerana kedua-dua pasukan inginkan kemenangan.
"Apapun kelebihan memihak JDT kerana beraksi di depan penyokong sendiri dan saya berharap penyokong menjadi pemangkin untuk kami beraksi cemerlang kerana mereka adalaH pemain ke-12 JDT tetapi kami juga harus tidak boleh leka dan perlu berwaspada dengan ancaman skuad Lang Merah," katanya.
Morais juga menegaskan corak permainan pantas anak didik Marcote yang gemar beraksi dengan bola umpanan pendek dan menyerang di posisi sayap kiri dan kanan selain kerap menguasai bola di bahagian tengah harus diawasi dan perlu disekat.
Tambahnya, sepanjang latihan menjelang pertembungan menentang Kedah, tumpuan lebih terarah memberi fokus dalam gerakan pantas dan juga memperkemaskan lagi posisi pertahanan, tengah dan serangan kerana ia penting untuk memastikan dominasi ketika beraksi dalam perlawanan sebenar.
"Kami tahu Kedah dibimbing jurulatih baharu dan mungkin tampil dengan corak permainan berbeza namun kami akan membuat persiapan lebih rapi untuk berdepan pasukan itu. Kemungkinan juga Marcos Antonio akan kembali beraksi untuk memperkuatkan benteng pertahanan selepas dia menunjukkan perkembangan positif sepanjang latihan selepas kami tidak menurunkannya ketika aksi kelayakan ACL, baru-baru ini ," kata Morais.
Sumber: BH Online