Pilih Jadi Mak Nyah Sebab Susah Dapat Kerja


MAJORITI golongan 'mak nyah' di Terengganu mendakwa terpaksa terjebak dalam aktiviti tidak sihat atau aktiviti lorong bagi menyara kehidupan kerana masalah diskriminasi dan sukar mendapat pekerjaan.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib berkata, kerajaan negeri memandang serius masalah dihadapi mereka yang kebanyakannya meluahkan kekecewaan kerana sukar mendapat peluang pekerjaan berikutan keadaan diri mereka.

"Kita akan cuba bantu tangani dengan cara terbaik sebab sebenarnya mereka ini berbakat dan rajin.

"Tidak seperti orang lain yang kebiasaannya mahukan ‘ikan’ sebagai bantuan untuk menyara hidup, sebaliknya mereka ini mahukan ‘pancing’ untuk mereka teruskan hidup.

"Jadi, kerajaan negeri sedia membantu golongan itu untuk keluar daripada kepompong tidak sihat termasuk dengan menyediakan aspek bantuan modal perniagaan dan peluang pekerjaan sekali gus berharap dapat menarik golongan itu kembali ke pangkal jalan," katanya selepas Majlis Temu Murni Bersama Komuniti Yang Disayangi di Kuala Terengganu, semalam.

Lebih 100 golongan 'mak nyah' di Terengganu termasuk yang datang dari Pahang dan Kelantan hadir pada majlis berkenaan.

Ghazali berkata, walaupun golongan 'mak nyah' sering dipandang serong oleh sebahagian besar masyarakat, mereka berhak untuk dibantu bagi mengelak gejala itu menjadi lebih serius.

"Nampaknya mereka ini sangat positif apabila mahu kita bantu dengan menyediakan kursus kemahiran, latihan pekerjaan atau perniagaan dan sedikit modal untuk memulakan perniagaan bagi meneruskan kehidupan sekali gus menarik mereka keluar daripada melakukan aktiviti tidak bermoral untuk menyara hidup," katanya.

Mengulas mengenai majlis berkenaan, Ghazali berkata, ia adalah permulaan untuk pihaknya menyelami permasalahan dihadapi golongan 'mak nyah' sehingga menyebabkan mereka terjebak dengan kancah gejala sosial untuk menyara hidup

"Selepas ini, akan ada beberapa lagi siri pertemuan dan program kesedaran diadakan bersama golongan itu selepas ini.

"Usaha kerajaan negeri membantu golongan berkenaan tidak bermaksud kita membenarkan kegiatan 'mak nyah' tetapi sebagai sebahagian usaha untuk menarik golongan itu kembali ke pangkal jalan.

"Kalau kita tidak buat sesuatu, maka jumlah mereka yang terbabit dengan kancah pondan atau 'mak nyah' ini semakin banyak.

"Ketika itu kita tidak boleh menuding jari salahkan mereka kerana kita tidak pernah bantu sedangkan mereka juga sebahagian daripada kita," katanya.

Sementara itu, peserta, Mohd Bakri Abu Bakar, 52, berkata, dia gembira apabila permasalahan golongan itu mendapat perhatian kerajaan negeri, sekali gus yakin ia dapat membantu mengelak komuniti pondan terus bertambah.

"Walaupun saya sudah berubah ketika

berusia 46 tahun tetapi saya hadir pada hari ini untuk memberi sokongan kepada rakan lain. Memang golongan ini perlukan perhatian dan bantuan dan tidak boleh dipinggirkan masyarakat, kalau tidak masalah ini lebih sukar dibendung.

"Usaha kerajaan negeri ini harus dipuji dan saya akui ini adalah program pertama seumpamanya yang pernah saya hadiri khusus untuk golongan 'mak nyah'," katanya yang terjebak sebagai pondan selama 20 tahun.

Sumber: Metro