Pindah Pengundi Tentera Antara Kem Satu Pembohongan DAP


Dakwaan DAP berlaku pemindahan pemilih baharu di kalangan anggota tentera dan pasangan mereka di satu kem ke satu kem yang lain menjelang Pililhan Raya Umum ke-14 adalah satu pembohongan yang bertujuan mengelirukan rakyat. 

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata dakwaan pihak tertentu kononnya wujud pemilih baharu di kalangan anggota tentera didaftarkan di Kem Paloh yang dipindahkan dari Kem Mahkota dalam Parlimen Sembrong adalah tidak benar sama sekali. 

SPR menafikan pernah menerima sebarang permohonan baharu daripada pihak tentera untuk mendaftarkan anggota mereka sebagai pemilih atau membuka lokaliti baru di Kem Paloh, Johor dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT) bagi suku keempat tahun 2017. 

"Pihak-pihak yang berkepentingan boleh membuat semakan pada Rang DPT bagi Suku Keempat Tahun 2017 yang sedang dipamerkan bermula pada 17 Jan sehingga 30 Jan 2018 di tempat-tempat pameran yang berdekatan," katanya dalam satu kenyataan media. 

Sebelum ini, DAP selaku ketua Pakatan Harapan Johor turut menyebarkan dakyah berlaku perpindahan pendaftaran pengundi di kerusi Sembrong yang disandang Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein. 

Berikutan itu, Setiausaha Politik Menteri Pertahanan, Onn Hafiz meminta pemimpin PH terbabit berhubung dengannya bagi mendapatkan penjelasan, namun pelawaan itu tidak dijawab. 

Pemimpin Pakatan Harapan Johor juga enggan membuat semakan dengan pihak SPR apabila disaran berbuat demikian bagi mendapatkan kebenaran tentang dakwaan yang mereka bangkitkan.

Sebelum ini Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Johari Baharum menyifatkan tuduhan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong ko­nonnya pembinaan kem di Sembrong adalah bermotifkan politik bukan sahaja tidak berasaskan bahkan menghina anggota tentera di negara ini.

Kenyataan tersebut seolah-olah menuduh anggota tentera boleh dipergunakan demi kepentingan pihak tertentu.

“Hakikatnya Barisan Nasional (BN) tidak pernah mempergunakan mana-mana pihak ter­utamanya anggota tentera bagi mencapai kemenangan dalam pilihan raya, " kata Johari yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu.

Beliau memberi contoh di Port Dickson (Telok Kemang) dan Lumut yang mempunyai kem-kem tentera besar di mana ahli Parlimennya adalah da­ri­pada pembangkang.

Beliau mengulas kenya­taan Chin Tong dalam sebuah portal berita baru-baru ini yang mendakwa pembinaan kem dalam kawasan Parlimen Sembrong bermotifkan politik bagi memberi kelebihan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang merupakan Ahli Parlimen Sembrong dalam Pilihan Raya Umum Ke-14

Pembinaan kem tentera bukanlah dibuat secara sesuka hati, sebaliknya mengikut perancangan strategik yang diatur oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kata Johari.- Kedahnews.com.