PKNK Sumbang Bantuan Kewangan Pada 100 Murid KAFA Kota Setar


ALOR SETAR - Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) memberi sumbangan berupa kewangan kepada seramai 100 murid miskin dari 10 pusat Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di daerah Kota Setar pada Jumaat lalu.

Ketua Eksekutif PKNK, Abdul Rahman Abdullah berkata, sumbangan yang dihulurkan sebanyak RM150 seorang diharapkan dapat meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga murid-murid terbabit.

"KNK dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) berganding bahu  mengenal pasti pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan daripada pusat-pusat KAFA yang terpilih.

"Bantuan kewangan yang diberikan ini akan digunakan untuk pembayaran yuran dan pembelian buku-buku aktiviti yang akan diuruskan oleh pusat KAFA berkenaan,"katanya.

Beliau berkata ketika berucap pada Majlis Serahan Bantuan Persekolahan Sesi 2018 Sekolah Pendidikan Islam (SPI) dan KAFA Daerah Kota Setar, di sini.

Apa yang difahamkan Abdul Rahman, program demikian adalah yang pertama kali diadakan itu akan diteruskan pada tahun depan.

Seorang tenaga pengajar KAFA dari Surau Taman Wira Mergong, Juwairiah Mohd Jusoh, 41 berkata, bantuan itu sangat bermakna untuk pelajar terutama yang kurang berkemampuan untuk menjelaskan yuran KAFA kira-kira RM100 setahun selain bakinya boleh diguna untuk membeli buku teks dan aktiviti murid.

"Walaupun yurannya tidak mahal, masih terdapat keluarga yang tidak berkemampuan untuk membayarnya,"katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan.

Pusat KAFA yang terpilih ialah  Pusat KAFA Masjid Ubudiyyah Mergong, Surau Taman Wira, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pantai, SK Kuala Kedah, SK Telaga Mas, SK Bukit Pinang, SK Telok Kechai, SK Kampong Gelam, SK Buluh Lima dan SK Alor Setar. - Kedahnews.com