PKNS FC Ikat Anderson, Acosta


PETALING JAYA - PKNS FC mengikat dua lagi pemain import bagi memperkuatkan pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Skuad Semut Merah itu berjaya mendapatkan khidmat bekas pertahanan tengah Kedah dari Australia, Zac Anderson serta pemain tengah kelahiran Argentina, Jonathan Acosta dengan tempoh kontrak selama setahun.

Kehadiran dua pemain import itu membolehkan mereka memiliki empat import setakat ini selepas mengikat pemain kebangsaan Singapura, Faris Ramli untuk mengisi kuota import Asia Tenggara dan bintang muda Colombia berusia 19 tahun, Romel Morales sebelum ini.

Jurulatih PKNS, Datuk K Rajagobal menyifatkan kehadiran dua pemain baharu itu sebagai pilihan tepat untuk menambahbaik beberapa kelemahan yang sudah dikenalpasti selepas mengharungi saingan musim lalu.

"Dua pemain ini diikat mengikut keperluan pasukan bagi mengharungi musim ini. Zac memiliki pengalaman beraksi di sini dan dia turut memiliki kualiti kepimpinan di tengah padang selain kelebihan fizikal yang akan membantu pasukan.

"Jonathan pula menepati pendekatan yang kami mahu terapkan musim ini dan dia memiliki reputasi baik serta mampu memberikan kreativiti ketika menyerang.

"Apa pun, saya melihat dua pemain ini boleh meningkat selepas beraksi banyak perlawanan dan saya yakin mereka mampu bekerjasama dengan baik bersama pemain tempatan," katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani kontrak dua pemain itu di Kompleks Sukan PKNS, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kekosongan satu lagi import pasukan itu, Rajagobal menjelaskan pihaknya enggan terburu-buru dan mahu mendapatkan pemain yang benar-benar berkualiti bagi mengisi slot import kelima.

"Kami kena tunggu dulu kerana ada beberapa pemain import yang akan menjalani ujian bersama pasukan ini. Selepas itu barulah kami membuat keputusan," katanya.

Sumber: BH Online